Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Majlis Pemulihan Negara ganti JKKPPN kukuh strategi kawal Covid-19

Mesyuarat kedua Jawatankuasa Khas Kabinet Pelan Pemulihan Negara (JKKPPN) yang berlangsung hari ini setuju menggantikan badan itu dengan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan itu diambil bagi memastikan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) berjalan lancar dan mengukuhkan lagi strategi kawalan wabak Covid-19 secara holistik.

Tengku Zafrul berkata mesyuarat yang dipengerusikan perdana menteri hari ini juga telah memutuskan PPN akan dibentangkan di parlimen pada 26 Julai ini.

"Berteraskan pendekatan seluruh negara, MPN akan melantik wakil-wakil dari sektor swasta, pakar industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi pengalaman dan nasihat dalam pelbagai aspek PPN bagi membolehkan Malaysia keluar dari pandemik ini secara sistematik dan selamat," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.

Tengku Zafrul berkata beberapa perkara turut diputuskan dalam mesyuarat kali ini, iaitu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan maklum balas, antara lain daripada pakar sesuatu bidang, selaras dengan usaha untuk mempertingkatkan kejelasan SOP dan tahap kepatuhan.

Selain itu mesyuarat juga memutuskan untuk memperkenalkan beberapa kelonggaran kepada rakyat yang telah mendapat dua dos vaksin dan mempertimbangkan kelonggaran bagi syarikat-syarikat yang telah memberi vaksinasi penuh kepada pekerjanya untuk beroperasi penuh.

"Perincian mengenainya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat," jelasnya.

Dia berkata MPN juga akan membuat pertimbangan dan mengesyorkan langkah-langkah penambahbaikan bagi memastikan peralihan dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat dicapai secepat mungkin berdasarkan pencapaian nilai-nilai ambang utama yang telah ditetapkan.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan mengukuhkan strategi bagi mengawal wabak Covid-19 secara holistik dengan memberi fokus kepada faktor-faktor seperti kadar aktiviti dan pergerakan; kadar dan tempoh kebolehjangkitan; populasi berisiko dan pengukuhan kapasiti sistem kesihatan awam," tambahnya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS