Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PdPR bawah payung luar rumah sebab internet perlahan
Diterbitkan:  Jul 16, 2021 1:27 PM
Dikemaskini: 5:29 AM

Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik kagum dengan kesungguhan yang ditunjukkan remaja perempuan berusia 14 tahun yang sanggup berada bawah panas terik dengan berbekalkan payung bagi mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, bekas menteri pelajaran itu memberitahu dia bertemu dengan pelajar berkenaan semasa dalam perjalanan pulang daripada memberi bantuan kepada penduduk di Kampung Bukit Nyamuk.

“Mendengar aduan Nabilah, hati saya menjadi sendu, pilu dan pasrah, tetapi kagum dan bangga dengan usaha beliau.

“Saya mengambil kesempatan tersebut untuk berbicara dengan gurunya yang sedang rancak mengajar subjek Sains tingkatan dua, Cikgu Izan dari sekolah Menengah Kahang.

“Melalui suara beliau yang bersemangat dan juga bahan bahan yang dipaparkan di skrin, Cikgu Izan pastinya seorang yang berdedikasi dan berjiwa kental.

“Saya pasti Cikgu Izan agak terkejut ketika saya menyapa beliau. Maafkan saya Cikgu,” tulisnya dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Katanya, Nabilah terpaksa duduk bawah payung di hadapan rumah demi mendapat capaian internet berikutan rangkaian begitu lemah dan hampir tiada di kawasan tersebut.

Pelajar di negara ini kini mengikuti pembelajaran mereka melalui PdPR selepas sesi persekolahan secara bersemuka ditutup ekoran wabak Covid-19.

Maszlee juga mengucapkan tahniah kepada adik Nabilah dan kembarnya serta Cikgu Izan kerana bertungkus lumus mengajar walaupun berdepan dengan cabaran.

Maszlee berkata, pihaknya akan cuba memastikan syarikat telekomunikasi datang ke kawasan Simpang Renggam untuk menaik taraf rangkaian internet demi keselesaan penduduk.

“Kita doakan, InshaAllah tidak lama lagi kawasan-kawasan ini akan mendapat capaian internet yang lebih elok.

"Harapan saya agar adik-adik seperti adik Nabilah dan adik Nadia tidak perlu lagi duduk di tepi jalan demi menghadiri kelas PdPR

“Anak-anak murid dan guru ingin ke sekolah, namun keadaan tidak mengizinkan. Semoga keadaan akan kembali pulih seperti biasa… bersama kita doakan,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS