Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sinopharm jadi vaksin ke-6 terima kelulusan bersyarat KKM
Diterbitkan:  Jul 16, 2021 12:47 PM
Dikemaskini: 4:47 AM

Kementerian Kesihatan (KKM) memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Covid-19 keluaran Sinopharm di China untuk "kegunaan semasa bencana" di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelulusan itu dibuat ketika mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) hari ini.

Dia berkata, PBKD turut memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Janssen keluaran syarikat Amerika Syarikat, Johnson & Johnson.

"Kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

"Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi produk-produk vaksin tersebut kekal positif," katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, KKM telah meluluskan pendaftaran bersyarat bagi vaksin Janssen pada bulan lalu, menerusi Senarai Penggunaan Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO). Hanya satu dos diperlukan untuk vaksin ini.

Vaksin keluaran Sinopharm, yang dinamakan sebagai Covilo, pula perlu diberi sebanyak dua dos dengan sela masa 21 hari.

Menurut laman web WHO, vaksin ini memiliki kadar keberkesanan 79 peratus ke atas jangkitan Covid-19 yang bergejala yang berlaku selepas 14 hari, atau lebih, dua kedua diberikan.

Ia juga memiliki kadar keberkesanan 79 peratus dalam mengelakkan penerima daripada perlu dimasukkan ke hospital.

Dengan perkembangan ini, vaksin keluaran Sinopharm menjadi vaksin keenam yang dibenarkan untuk kegunaan semasa bencana di Malaysia.

Vaksin lain yang telah diluluskan setakat ini adalah Pfizer, Sinovac, AstraZeneca, dan CanSino.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS