Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bunga, coklat, teddy bear antara hadiah penduduk pada petugas kesihatan
Diterbitkan:  Jul 15, 2021 4:40 PM
Dikemaskini: Jul 17, 2021 6:20 AM

Meski perjuangan melawan pandemik masih panjang, penduduk pangsapuri di Bandar Baru Bangi, Selangor sempat meraikan petugas yang bertugas di kawasan.

Penduduk di Pangsapuri Sri Ayu di Seksyen 4 dikuarantin dengan sekatan ketat sehingga semalam, susulan penularan Covid-19.

Mereka tidak dibenarkan meninggalkan pekarangan flat itu sehingga semua penduduk selesai menjalani ujian dan tempoh kuarantin Covid-19.

Pada 13 Julai, penduduk terakhir memotong gelang kuarantin menandakan berakhirnya penutupan di Pangsapuri Sri Ayu.

"Setelah selesai operasi pemotongan gelang terhadap semua penghuni di sini, para petugas telah diberikan pelbagai hadiah antaranya, bunga, coklat, teddy bear dan makanan.

"Terima kasih kepada semua penghuni di sini yang menghargai tugasan kami.

"Kami berharap semua penghuni terus jaga diri dan kesihatan dengan kerap mencuci tangan dengan air dan sabun atau gunakan hand sanitizer, pakai pelitup muka dan jaga jarak fizikal 1 meter," kata Pusat Maklumat Rakyat Pejabat Penerangan Daerah Hulu Langat dalam satu hantaran Facebook, semalam.

 

Hantaran itu disertai klip video pekerja kesihatan memakai alat pelindung diri yang menari di kawasan tempat letak kenderaan di flat dengan penduduk bersorak dari balkoni.

Dalam satu video, penduduk dilihat menjatuhkan hadiah dari balkoni mereka.

Pangsapuri Sri Ayu diletakkan di bawah sekatan pergerakan yang ketat dari 30 Jun hingga 13 Julai setelah sekurang-kurangnya 200 penduduk di sana diuji positif Covid-19 dalam jangka masa satu bulan.

Kawasan itu juga berfungsi sebagai tempat tinggal pekerja bagi kira-kira 2,000 pekerja kilang.

Penduduk yang diuji negatif dalam tempoh sekatan juga diberi vaksin.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS