Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenapa pelan penstrukturan tak termasuk dalam terma RCI Tabung Haji?
Diterbitkan:  Jul 15, 2021 1:07 PM
Dikemaskini: 5:07 AM

Bekas menteri agama Mujahid Yusof mempersoalkan mengenai pelan penstrukturan semula Lembaga Tabung Haji (TH) tidak termasuk dalam terma suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang akan ditubuhkan.

Bagaimanapun katanya, dia bersedia dipanggil untuk memberi keterangan kepada RCI yang akan ditubuhkan nanti.

"Sejak awal lagi saya menyokong RCI dibuat tetapi anggotanya perlulah terdiri dari pakar yang berkelayakan.

"Saya juga hairan kenapa pelan penstrukturan Semula tidak termasuk dalam terma rujukan RCI sedangkan pelan tersebut dirangka berpandukan kepada rumusan dapatan dari firma audit yang disebutkan.

"Sekali lagi saya ingin menegaskan bahawa RCI TH perlu telus dan profesional tanpa agenda politik di sebaliknya dan jika saya dipanggil untuk memberi keterangan, saya bersedia mendedahkan langkah dan tindakan yang kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah ambil untuk selamatkan TH termasuk laporan polis yang dibuat ke atas individu yang terlibat dalam penyelewengan dana TH," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan pembentukan RCI bagi menjalankan siasatan ke atas TH.

Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat kabinet semalam.

Katanya antara terma rujukan yang dipersetui kabinet untuk RCI tersebut ialah skop mereka tertumpu kepada hasil penemuan firma perunding ke atas isu-isu berbangkit TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Pun begitu katanya ia tidak termasuk pelan pemulihan dan penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan sekarang.

Turut disenaraikan Ismail Sabri ialah siasatan bagi menentukan sama ada wujud atau tidak tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberikan kenyataan yang mengelirukan.

Turut disenaraikan sebagai terma buat RCI itu ialah mengesyorkan tindakan yang sesuai ke atas pihak yang terlibat melanggar mana-mana peruntukan undang-undang sama ada secara langsung atau tidak tanpa menjejaskan siasatan atau tindakan perundangan sedia ada.

RCI itu juga dikehendaki mengemukakan dapatan mereka serta syor dalam tempoh tiga bulan.

Muhjahid yang juga naib presiden Amanah turut mempersoalkan penubuhan RCI dibuat selepas 17 bulan Perikatan Nasional (PN) berkuasa.

"Setelah 17 bulan PN berkuasa dan isu RCI TH disensasikan, akhirnya timbalan perdana menteri dari Umno menyatakan bahawa kabinet setuju untuk menubuhkan RCI atau RCI tentang TH. Syabas dan tahniah!

"Sepanjang tempoh 22 bulan saya diberikan amanah menjaga TH di bawah JPM Agama, saya dan pasukan TH telah bertindak berpandukan atas laporan firma audit profesional yang disebut untuk menjayakan pelan penstrukturan semula di mana TH berada dalam keadaan tenat dari sudut kewangannya dan integritinya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS