mk-logo
Berita
'Tak payah naik bendera putih, bendera biru tak apa'

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata rakyat tidak perlu mengibarkan bendera putih, memandangkan bantuan secara bersasar akan disampaikan kepada sebahagian kumpulan bersasar yang terjejas dengan pandemik Covid-19.

Dia berkata, golongan yang layak menerima bantuan tersebut terdiri termasuk daripada mereka dari golongan B40, M40 dan T20 yang terkesan dari segi ekonomi.

“Kita tak kira. Kadang-kadang T20 pun ada yang terkesan kerana tak boleh berniaga, dia diberhentikan kerja.

“Tak payah naik bendera putih ke hitam. Nak naik bendera biru tak apa. Maksud saya tadi, kita tahu di mana (perlukan bantuan) dan kementerian ada rekod,” katanya kepada pemberita selepas tinjauan penyediaan bakul prihatin negara oleh perdana menteri.

Kempen kibar bendera putih merupakan simbolik memohon bantuan yang bermula sejak beberapa minggu lalu sehingga mendapat perhatian ramai dan ia dilihat berjaya apabila ramai pihak yang tampil membantu golongan memerlukan terutamanya dari segi bantuan makanan.

Manakala kempen kibar bendera hitam pula merupakan sebagai tanda "kegagalan" kerajaan PN sekarang.


Baca: PM tinjau penyediaan bakul makanan


Mengulas lanjut mengenai bantuan tersebut, Muhyiddin berkata, kementerian tertentu mempunyai sistem pendaftaran supaya agihan dapat dibuat secara adil.

Pada masa yang sama, dia turut mengucapkan terima kasih kepada badan-badan politik dan badan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan berterusan kepada rakyat.

“Satu contoh terbaik di kalangan rakyat Malaysia, di zaman susah kita sama-sama susah. Kita bantu siapa yang memerlukan baik jiran ke, baik di mana saja.

“Ini suatu usaha kita akan terus lakukan di samping langkah-langkah lain kita laksanakan uruskan masalah Covid-19 negara kita,” katanya. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS