Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Yeoh gesa 3 langkah segera lindung pemandu, penghantar e-hailing dari Covid-19
Diterbitkan:  Jul 15, 2021 12:19 PM
Dikemaskini: 4:19 AM

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh menggesa kerajaan mengambil tiga langkah segera untuk melindungi kira-kira 200,000 pemandu dan penghantar barang bermotosikal e-hailing daripada wabak Covid-19.

Menyuarakan kebimbangan terhadap risiko jangkitan yang dihadapi mereka, Yeoh berkata langkah pertama yang perlu diambil adalah dengan Kementerian Pengangkutan dan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menyegerakan pemberian vaksin kepada mereka, yang menurutnya bukan hal yang sukar untuk dilaksanakan.

“Saya terkejut kerana mereka ini tidak dianggap sebagai petugas barisan hadapan walaupun mereka dikategorikan sebagai perkhidmatan perlu dalam setiap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, dia menyentuh isu pengudaraan, di mana Kementerian Kesihatan perlu memberikan panduan dan galakan mengenai sistem pengudaraan untuk perjalanan menggunakan perkhidmatan e-hailing.

“Ini adalah amat penting kerana mereka membawa ribuan penumpang ke pelbagai Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di seluruh Malaysia.

“Ini bukan roket sains. Mengapa ia tidak boleh dilakukan lebih awal?” soalnya.

Langkah ketiga yang dicadangkan Yeoh adalah perkongsian data aplikas MySejahtera dengan pemain industri berkaitan bagi mengurangkan penularan wabak.

Dia memberi contoh ketika ini, apabila penumpang membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing, pemandu tidak diberi maklumat mengenai status Covid-19 penumpang sehinggalah dia masuk ke dalam kenderaan dan mambuat imbasan kod QR.

“Risiko untuk pemandu ini terdedah dan menyebabkan berlakunya rantaian jangkitan tidak dapat dibayangkan tetapi ianya boleh dan mesti dielakkan," katanya lagi.

Yeoh meminta semua menteri berkaitan agar menyelesaikan perkara itu berdasarkan bidang kuasa asing-masing dan menamakan tiga menteri secara khusus, iaitu Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

"Mungkin kerajaan Selangor dan kerajaan negeri yang lain boleh menyaingi persekutuan dengan memberikan vaksinasi kepada 200,000 petugas barisan hadapan e-hailing ini," katanya lagi.

Setakat ini, sudah 867,567 kes Covid-19 dilaporkan di Malaysia. Semalam, KKM berkata sebanyak 11,618 kes baru dicatatkan. Ia merupakan hari kelima berturut-turut angka kes baru mencatatkan rekod tertinggi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS