Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penutupan kilang: Exco k'jaan negeri jangan lari dari tanggungjawab - MCA S'gor
Diterbitkan:  Jul 15, 2021 10:33 AM
Dikemaskini: 4:56 AM

Pengerusi MCA Selangor, Ng Chok Sin menggesa Exco Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam Selangor, Ng Sze Han untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam soal penutupan kilang, yang menurutnya turut termasuk dalam kuasa kerajaan negeri.

"Dia tidak seharusnya terus menerus mempertahankan kerajaan negeri yang tidak bertindak, sebaliknya memanfaatkan kuasa yang ada pada kerajaan negeri untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

"Semalam, Sze Han mendakwa pihak berkuasa tempatan tidak dapat mengeluarkan perintah penutupan terhadap kilang untuk mengekang penularan Covid-19 di kawasan mereka, dengan mendakwa kuasa tersebut terletak pada kerajaan Persekutuan.

"Alasannya itu seperti cuba mengelakkan diri daripada tanggungjawab," kata Ng dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ng, pihak berkuasa tempatan boleh menggunakan Akta Kerajaan Tempatan 1976, khususnya Seksyen 107 (2) untuk menutup kilang dengan menarik lesen operasi yang dikeluarkan oleh PBT.

"Ini bermaksud pihak berkuasa tempatan mempunyai budi bicara untuk menarik balik lesen operasi kilang. Oleh itu, kenyataan Sze Han adalah usaha untuk mengelak daripada bertanggungjawab dan menyalahkan kerajaan persekutuan atas sejumlah besar kes dan kluster di Selangor," katanya.

Semalam, Sze Han berkata hanya pihak kerajaan persekutuan yang mempunyai kuasa untuk menutup kilang.

Ng Sze Han

Katanya lagi, meskipun Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) telah dipinda pada Mac lalu untuk memberi kuasa kepada PBT bagi membantu menguatkuasakan SOP Covid-19, ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya.

“Pindaan itu dibuat bagi membolehkan pegawai kesihatan persekitaran di PBT membantu menjalankan penguatkuasaan SOP dan arahan kerajaan persekutuan.

“Kuasa tersebut masih di bawah kerajaan persekutuan,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu berikutan pertikaian antara Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dan setiausah politik Lim Kit Siang, Syahredzan Johan di Twitter, berhubung bidang kuasa kerajaan negeri berkaitan arahan penutupan operasi kilang.

Pada 11 Julai lalu, Sze Han mengkritik langkah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) kerana menambah sektor ekonomi yang dibenarkan untuk terus beroperasi di kawasan yang dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD).

Bagaimanapun, Ng mendakwa pentadbiran PH di Selangor cuba meletakkan tanggungjawab melawan pandemik sepenuhnya kepada kerajaan Persekutuan.

"Kerajaan negeri juga harus memikul tanggungjawabnya sendiri," kata Ng yang juga mendakwa kadar vaksinasi di Selangor kurang memuaskan berbanding negeri-negeri lain kerana Exco Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud gagal melakukan tindakan susulan secara menyeluruh dalam soal itu.

Selain itu, Ng turut mendakwa Adun DAP di Selangor tidak bersuara ap-apa berhubung isu itu, walaupun mereka sebahagian daripada kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS