Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kerajaan setuju tubuh RCI siasat Tabung Haji
Diterbitkan:  Jul 14, 2021 7:53 PM
Dikemaskini: 12:03 PM

Kerajaan hari ini mengumumkan pembentukan sebuah suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menjalankan siasatan ke atas Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam kenyataan dikeluarkan lewat petang ini Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dicapai hasil mesyuarat kabinet yang diadakan hari ini.

Katanya antara terma rujukan yang dipersetui kabinet untuk RCI tersebut ialah skop mereka tertumpu kepada hasil penemuan firma perunding ke atas isu-isu berbangkit TH bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Pun begitu katanya ia tidak termasuk pelan pemulihan dan penstrukturan TH yang sedang dilaksanakan sekarang.

Turut disenaraikan Ismail Sabri ialah siasatan bagi menentukan sama ada wujud atau tidak tindakan menyembunyikan maklumat berkaitan isu-isu yang dibangkitkan dan perbuatan memberikan kenyataan yang mengelirukan.

Turut disenaraikan sebagai terma buat RCI itu ialah mengesyorkan tindakan yang sesuai ke atas pihak yang terlibat melanggar mana-mana peruntukan undang-undang sama ada secara langsung atau tidak tanpa menjejaskan siasatan atau tindakan perundangan sedia ada.

RCI itu juga dikehendaki mengemukakan dapatan mereka serta syor dalam tempoh tiga bulan.

"Jabatan Perdana Menteri akan mengenal pasti senarai keahlian RCI yang dicadangkan terdiri daripada pakar dalam bidang syariah, perundangan, perbankan Islam dan pelaburan.

"Perincian dari segi terma dan rujukan serta keanggotaan RCI akan diumum dalam masa terdekat," katanya.

Menurut Ismail Sabri penubuhan RCI itu adalah langkah wajar diambil kerajaan supaya siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara yang dibangkitkan.

Perakuan yang dibuat nanti, katanya, akan dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.

Kata ahli parlimen Bera itu lagi, penubuhan RCI juga bagi memastikan siasatan dalaman yang telus dan amanah dapat dilaksanakan demi memastikan badan itu menguruskan wang deposit umat Islam dengan profesional.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS