Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Polis siasat klip video kempen 'Code Black'
Diterbitkan:  Jul 14, 2021 7:44 PM
Dikemaskini: 11:47 AM

Polis sedang menyiasat seorang doktor gigi berhubung klip rakaman video mengenai kempen 'Code Black' yang bertujuan menyokong pegawai perubatan kontrak dalam perkhidmatan awam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abd Jalil Hassan memberi amaran bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba mengganggu keharmonian negara.

"PDRM menggesa orang ramai menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara.

"Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman serta keselamatan awam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abd Jalil berkata, klip video selama 6 minit 49 saat itu memaparkan ucapan individu berkenaan yang mempertikaikan skim pelantikan doktor secara kontrak dalam sektor perkhidmatan awam.

Katanya, melalui rakaman itu, individu itu juga menyeru orang ramai agar menukar gambar profil di media sosial dengan warna hitam bermula 1 Julai hingga 12 Julai, serta memuat naik gambar dengan tanda pagar #SaveMyContractHCW, #CodeBlackMY dan #BlackMondayMY pada 12 Julai.

"Tindakan tersebut dinamakan sebagai Code Black" yang membawa maksud keadaan darurat di hospital akibat ancaman kepada petugas atau ancaman bom di hospital.

"Code Black bertujuan untuk memberikan sokongan kepada pegawai perubatan berstatus kontrak yang menuntut untuk diberi keistimewaan sebagaimana pegawai perubatan berstatus tetap," katanya.

Menurutnya lagi, individu itu juga mendakwa sistem keselamatan yang diamalkan kerajaan boleh menjejaskan kehidupan rakyat Malaysia dan perkhidmatan kesihatan selama enam dekad sejak negara merdeka.

Abdul Jalil berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 5050(c) Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan melakukan suatu kesalahan terhadap mana-mana golongan.

Jika sabit kesalahan, individu berkenaan boleh dihukum penjara hingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya.

Selain itu, doktor  itu juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) kerana menyalahgunakan perkhidmatan rangkaian secara tidak wajar.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000, penjara setahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Semalam, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kesal terhadap siasatan polis yang menyasarkan pegawai perubatan yang telah menyokong kempen setia kawan terhadap nasib doktor kontrak dalam perkhidmatan kerajaan.

Presiden MMA, Dr Subramaniam Muniandy berkata pihaknya menerima aduan daripada doktor yang terlibat dalam kempen "Code Black" (Kod Hitam) dan "Black Monday (Isnin Hitam) bahawa mereka sedang disiasat oleh polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS