- Dikemas kini dengan laporan penuh.
Laporan polis dibuat terhadap status media sosial dan artikel yang didakwa menghina Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang tersilap menyebut perkataan Spanish flu (selesema Sepanyol) sebagai "spanish fly".
Ia dikatakan dibuat oleh seorang peguam bagi pihak Adham.
Laporan itu dibuat selepas tular video Adham salah menyebut perkataan Spanish flu sebagai Spanish fly dan Spanish virus.
Spanish fly biasanya merujuk kepada perangsang seksual - dikatakan dibuat daripada bahan kimia diekstrak daripada serangga dengan nama sama.
Selesema Sepanyol pula merujuk kepada wabak pada tahun 1918 yang menjangkiti satu pertiga populasi manusia ketika itu.
Sementara itu, laporan polis oleh peguam itu merujuk dua ciapan - gesaan menteri kesihatan dipecat dan perkongsian gambar seniman Fahmi Reza yang menyindir Adham - sebagai menghasut.
Laporan polis itu juga merujuk laporan The Rakyat Post sebagai sengaja mahu memalukan menteri.
The Rakyat Post mengesahkan kepada polis bahawa laporan itu betul.
Ketika dihubungi, polis memberitahu Malaysiakini supaya merujuk perkara itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Bagaimanapun, SKMM pula meminta portal ini menghubungi pihak polis.
Ketua Pengarang The Rakyat Post, Hamzah Nazari dalam ciapan di Twitternya meminta Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah meminta pihak berwajib bersikap "lemah lembut" jika datang ke rumah untuk merampas perantinya.
“Tolong minta mereka berlembut kerana kami ada bayi berumur 11 bulan dan isteri saya sedang mengandung empat bulan.
“Terima kasih," katanya.
Kesilapan itu dilaporkan berlaku pada April tahun ini, ketika Adham bercakap sempena pelancaran buku Covid-19 di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Sebelumnya, siasatan polis terhadap jenayah fitnah jenayah juga telah diambil terhadap Fahmi atas karikatur yang dilukisnya mengenai menteri kesihatan.