Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDNK Singapura tumbuh 14.3% pada suku kedua 2021

Ekonomi Singapura mencatat pertumbuhan 14.3 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021 iaitu lanjutan pertumbuhan 1.3 peratus pada suku sebelumnya, demikian menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Dalam kenyataan mengenai unjuran awal yang dikeluarkan hari ini, MTI berkata pertumbuhan lebih kukuh itu disumbangkan terutamanya oleh kesan asas lebih rendah pada suku kedua 2020 apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) susut 13.3 peratus berikutan pelaksanaan langkah-langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19 pada 7 April-1 Jun, 2020.

Sebahagian besar daripada unjuran awal KDNK bagi suku kedua 2021 itu mewakili data dalam tempoh dua bulan pertama suku berkenaan iaitu April dan Mei 2021.

Menurut kementerian itu, KDNK bagi suku kedua 2021 kekal 0.9 peratus di bawah paras sebelum pandemik pada suku kedua 2019.

Bagi asas pelarasan suku ke suku, ekonomi Singapura menguncup 2.0 peratus pada suku kedua 2021 selepas mencatat pertumbuhan 3.1 peratus dalam suku sebelumnya.

Dari segi prestasi sektor, MTI berkata sektor pembuatan berkembang 18.5 peratus bagi tahun ke tahun dalam suku di bawah kajian tersebut yang meneruskan pertumbuhan 11.3 peratus dicatatkan sebelum ini.

“Pertumbuhan itu disokong oleh pengembangan output dalam semua kluster kecuali pembuatan bioperubatan,” katanya.

Sektor pembinaan tumbuh 98.8 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2021 iaitu peningkatan berbanding penguncupan 23.1 peratus dalam suku sebelum ini.

“Peningkatan ketara itu disebabkan oleh kesan asas yang rendah apabila pelaksanaan sekatan pemutus rantaian tersebut menyebabkan penutupan sementara semua aktiviti pembinaan dalam suku kedua tahun lepas,” katanya.

Menurut MTI, nilai tambah bagi sektor itu kekal 31.6 peratus di bawah paras sebelum pandemik suku kedua 2019.

Bagi sektor perkhidmatan, dagangan borong dan runcit serta pengangkutan dan penyimpanan berkembang 9.3 peratus pada suku kedua 2021, sekali gus mengatasi penguncupan 1.7 peratus dalam suku sebelum ini.

Sektor maklumat dan komunikasi, kewangan dan insurans serta perkhidmatan profesional meningkat 7.8 peratus pada suku kedua 2021 dan meneruskan pertumbuhan 3.2 peratus pada suku sebelumnya.

Kumpulan sektor perkhidmatan lain seperti penginapan dan makanan, hartanah, perkhidmatan pentadbiran dan sokongan serta lainnya, meningkat sebanyak 13.4 peratus dalam suku di bawah kajian berbanding penguncupan 3.8 peratus dalam suku sebelum ini.

Kementerian itu akan mengumumkan unjuran awal KDNK bagi suku kedua 2021 termasuk prestasi sektor-sektor, sumber pertumbuhan, inflasi, penggajian dan produktiviti menerusi laporan Tinjauan Ekonomi Singapura pada Ogos 2021.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS