mk-logo
Berita
Persatuan Perubatan M'sia kesal siasatan polis terhadap doktor
Diterbitkan:  Jul 13, 2021 10:10 PM
Dikemaskini: 2:10 PM

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) kesal terhadap siasatan polis yang menyasarkan pekerja penjagaan kesihatan yang telah menyokong kempen setia kawan terhadap nasib doktor kontrak dalam perkhidmatan kerajaan.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata pihak menerima aduan daripada doktor yang terlibat dalam kempen "Code Black" (Kod Hitam) dan "Black Monday (Isnin Hitam) bahawa mereka sedang disiasat oleh polis.

Katanya, doktor terbabit kini ketakutan dan trauma dengan siasatan itu.

"Walaupun MMA sedar bahawa (polis) diizinkan untuk melakukan penyiasatan, kami dengan tegas mengecam tindkan ini yang menyasarkan para doktor yang telah menyokong kempen kami memperjuangkan hak pekerja kesihatan di negara ini.

"Doktor yang terlibat itu telah menjalankan tugas mereka dengan tekun sambil menunjukkan setia kawan untuk para pekerja kesihatan.

"Pegawai perubatan seperti rakyat Malaysia lain berhak untuk bersuara, walaupun paling tidak dengan menunjukkan warna," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy. 

Dia menyifatkan siasatan itu sebagai "tidak perlu" dan melihatnya sebagai bentuk gangguan terhadap kempen tersebut.

Sebelum ini, MMA menggesa orang ramai untuk menyokong perjuangan doktor kontrak melalui kempen Kod Hitam dari 1 Julai hingga 12 Julai, dengan menukar gambar profil di akaun media sosial menjadi hitam atau monokrom.

Kempen ini mengambil namanya sempena kod kecemasan hospital yang menunjukkan ancaman kepada kakitangannya, dalam hal ini, ancamannya kepada pegawai perubatan kontrak.

Pada 12 Julai, para penyokong juga dapat menunjukkan setia kawan melalui kempen Isnin Hitam dengan memakai pakaian berwarna hitam untuk bekerja dan berkongsi gambar di platform media sosial.

Kedua-dua kempen MMA menjelang 'Hartal Doktor Kontrak' yang digerakkan oleh sekumpulan doktor lain dan dijadualkan berlangsung pada 26 Julai.

Bantahan ini akan menyaksikan doktor kontrak meninggalkan pekerjaan mereka selama sehari manakala rakan-rakan mereka akan mengambil alih tugasan menjaga perawatan pesakit.

Sebagai maklum balas terhadap tekanan yang semakin meningkat, Putrajaya telah menawarkan pelantikan semula berdasarkan kontrak dan dijangka akan membuat keputusan lebih lanjut mengenai hal itu pada mesyuarat kabinet besok.

Sementara itu, MMA menegaskan pihaknya tidak ada kaitan dengan hartal doktor kontrak dirancang dan kempen menggunakan "kod warna yang lain."

MMA juga berkata pihaknya sedang mendapatkan nasihat guaman sebagai tindak balas terhadap siasatan polis dan akan memberitahu anggota persatuan perubatan itu mengenai hasilnya.

“Mengenai perkara ini, MMA menyasarkan untuk bekerjasama dengan pihak-pihak yang berkenaan bagi menganjurkan acara maya untuk menyebarkan maklumat mengenai hak mereka dan perspektif undang-undang mengenai masalah yang dihadapi oleh doktor kerajaan," jelasnya.

Persatuan perubatan itu menggesa anggota yang sedang disiasat untuk menghubungi MMA melalui wakil negeri mereka yang bertanggungjawab mengenai doktor, pegawai perubatan dan pakar (Schomos).

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS