Putrajaya membentuk pasukan petugas baru khusus untuk menangani Covid-19 di kawasan Lembah Klang Besar (Greater Klang Valley).
Pasukan petugas ini diberi mandat untuk membuat keputusan cepat bagi pihak Kementerian Kesihatan untuk menggerakkan sumber-sumber dalam menyediakan bantuan terhadap sistem rawatan kesihatan.
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (kesihatan awam) Dr Chong Chee Keong mengumumkan badan itu dibentuk pada 8 Julai tetapi tidak mendedahkan siapa yang berada di dalamnya.
Selama lima hari terakhir, dia berkata pasukan petugas telah melakukan lawatan dan mengenal pasti kawasan yang kekurangan kakitangan dan peralatan.
“Kami (diberi mandat untuk) membuat keputusan yang tegas mengenai perolehan, kerahan sumber (dan) pada faktor-faktor seperti oksigen, katil, modular ICU dan hal-hal lain.
"Ini akan segera membantu kami mengurangkan tekanan terhadap sistem kesihatan awam.
"Pada masa sama, kami juga mengunjungi lokasi yang ingin kami gunakan sebagai kawasan rawatan Covid-19 atau kawasan kuarantin baru," katanya pada sidang media yang hanya terbatas untuk segelintir media terpilih sahaja.
Chong menjelaskan pasukan petugas akan bekerja dengan "pakar luar" ketika membuat keputusan.
Mereka juga akan melibatkan sektor ekonomi seperti majikan untuk menerapkan sistem yang menggalakkan pengesanan awal kes positif.
"Kita harus memastikan mereka mempunyai sistem untuk mengenal pasti kes-kes pesakit. Kami tidak mahu orang lambat dimasukkan ke sistem penjagaan kesihatan kami.
"Sekiranya mereka datang lebih awal, kami dapat merawatnya. Sekiranya mereka datang lewat, kami tidak boleh buat apa-apa.
"Oleh itu, mereka mesti mengambil lebih banyak tanggungjawab untuk ini,” katanya.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.