Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP saran semua petugas, sukarelawan PPV diuji Covid-19 secara berkala
Diterbitkan:  Jul 13, 2021 4:11 PM
Dikemaskini: 8:11 AM

Ahli Parlimen Bakri Yeo Bee Yin menggesa agar semua petugas dan sukarelawan di semua pusat vaksinasi (PPV) diuji Covid-19.

Gesaan itu hadir selepas 204 petugas PPV di Ideal Convention Center (IDCC), Shah Alam diuji positif Covid-19.

Yeo juga mencadangkan agar ujian berkala harus diwajibkan mulai sekarang, sama ada dengan ujian cepat atau alat ujian rumah.

“Buat ujian besar-besaran untuk semua petugas dan sukarelawan di semua PPV lain. (Mulai) sekarang, harus melakukan pengujian secara berkala, dapat mempertimbangkan alat uji cepat atau ujian rumah,” katanya melalui ciapan Twitter.

PPV IDCC ditutup hari ini (13 Julai) setelah 204 kes Covid-19 dikesan di kalangan kakitangan di pusat vaksinasi tersebut.

Menteri yang bertanggungjawab dengan program vaksinasi, Khairy Jamaluddin telah mengarahkan ujian besar-besaran setelah dua sukarelawan di IDCC dijangkiti virus tersebut.

Dia menasihati mereka yang diberi vaksin di pusat itu dari jam 4 petang Jumaat lalu (9 Julai) dan seterusnya untuk memantau diri sendiri selama 10 hari untuk melihat sama ada mereka mengalami gejala atau tidak.

Yeo, mendakwa penularan di PPV itu adalah 'kluster' dan mencadangkan pasukan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) menghubungi semua orang yang pernah berada di IDCC untuk memastikan mereka mengasingkan diri, kerana tidak semua orang membaca berita.

Dia juga mencadangkan satu hingga dua minggu sebelum mereka yang terlibat menjalani ujian di klinik berdekatan.

Dalam ciapan berasingan, dia memberi peringatan kepada Jawatankuasa Khas mengenai Covid-19 mengenai kes positif Covid-19 di IDCC dan pengudaraan di PPV.

"45 peratus kakitangan IDCC diuji positif. Ia harus dianggap sebagai kluster dan dikendalikan dengan sewajarnya. Ini adalah tanda amaran (kepada Jawatankuasa Khas Covid-19) untuk memastikan keselamatan PPV.

"(Mereka) juga harus meneliti pengudaraan secara serius untuk meminimumkan ancaman penularan aerosol di PPV," katanya.

Yeo telah mendesak pelaksanaan panduan pengudaraan PPV, yang diumumkan oleh Kementerian Sumber Manusia hari ini tetapi masih belum dikuatkuasakan.

Sementara itu, pemimpin DAP Johor, Liew Chin Tong memberikan cadangan mengenai langkah-langkah jangka panjang yang perlu dilaksanakan untuk mencegah kejadian serupa berlaku pada masa akan datang.

Dia mendesak kerajaan melaksanakan PPV pandu lalu untuk kurangkan kontak serta memastikan petugas dan penerima vaksin patuhi SOP.

Liew juga mencadangkan agar diwajibkan ujian RTK-Ag atau ujian kendiri kerap bagi petugas selain menyarankan penggunaan fasiliti komuniti seperti klinik swasta dan dewan, sekolah bagi mengurangkan kesesakan dan memudahkan penduduk.

Khairy sebelum ini berkata, 204 yang dijangkiti di IDCC tidak mempunyai gejala serius dan mempunyai "viral load rendah" yang mungkin berlaku kerana 400 daripada 453 kakitangan yang ditempatkan di IDCC PPV sudah diberi vaksin.

Dilaporkan bahawa akan ada penukaran kakitangan untuk memastikan keselamatan orang yang datang untuk mendapat vaksin di IDCC mulai esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS