Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pejuang nafi Dr M akan bekerjasama dengan Bersatu
Diterbitkan:  Jul 13, 2021 1:25 PM
Dikemaskini: 5:28 AM

Pejuang yang baru diluluskan pendaftaran sebagai sebuah parti yang sah, menafikan bahawa pengerusinya Dr Mahathir Mohamad akan bekerjasama dengan bekas partinya Bersatu dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangan Pejuang, Ulya Aqamah Husamudin dalam kenyataan hari ini menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak munasabah.

"Mahathir telah berkali-kali dengan tegas menolak dakwaan ini.

"Tuduhan kerjasama ini juga tidak munasabah. Andai Pejuang berniat untuk kerjasama dengan Bersatu dan Perikatan Nasional, tidak perlu pihak kami bertungkus lumus berusaha mendapatkan kelulusan parti. Lebih baik sahaja kami kembali pada parti lama," katanya.

Tambahnya, Biro Politik Pejuang juga tidak pernah berbincang mengenai kerjasama berkenaan, sebaliknya menumpukan kepada perbincangan menangani Covid-19 dalam kerangka Majlis Pemulihan Negara yang dicadang oleh parti.

Dia berkata demikian selepas desas-desus bahawa kemungkinan Mahathir akan bekerjasama dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Ulya berkata keputusan itu adalah selari dengan keputusan mahkamah yang memberi 14 hari kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membuat keputusan berhubung rayuan pendaftaran parti itu.

"Tiada perbincangan belakang atau percaturan politik, keputusan ini adalah hasil keputusan Mahkamah," katanya.

Mahathir sebelum ini mengaskan bahawa dia tidak berminat untuk berpolitik dan hanya mahu menumpukan perhatian kepada Majlis Pemulihan Negara.

Kedudukan Muhyiddin dilihat semakin goyang setelah Umno secara rasmi menarik balik sokongan kepadanya.

Namun, ia masih tidak jelas berapa banyak ahli parlimen Umno yang akan mematuhi keputusan parti itu.

Pada 8 Julai, Mahathir mengumumkan bahawa pendaftaran Pejuang telah diluluskan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS