Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mengemukakan usul untuk memastikan persidangan Dewan Rakyat yang akan datang membahaskan ordinan darurat dan isu-isu Covid-19.
Perkembangan ini hadir ketika terdapat kebimbangan bahawa kerajaan boleh hadkan perbahasan pada perubahan prosedur untuk membolehkan persidangan hibrid (fizikal dan maya) diadakan pada masa akan datang.
Kebimbangan itu timbul setelah Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengatakan bahawa persidangan-persidangan berkenaan akan meluluskan pindaan untuk membolehkan persidangan hibrid pada masa akan datang.
Mengenai isu-isu yang lebih relevan seperti Covid-19 dan ordinan darurat, kerajaan hanya mengatakan akan ada "taklimat" atau "pembentangan", tanpa menyebut perbahasan.
Dalam usul yang dikemukakan kepada Dewan Rakyat, Anwar mengatakan dia mahu pengisytiharan darurat dan ordinan berkaitan dengannya dibahaskan dan tidak hanya dibentangkan.
Dia juga meminta perbahasan mengenai pandemik Covid-19 dan perbelanjaan yang berkaitan, usaha vaksinasi dan Pelan Pemulihan Negara.
Usul itu dikemukakan kepada setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin semalam.
Anwar, yang merupakan Ahli Parlimen Port Dickson, berkata usul itu bertujuan untuk memastikan Parlimen memainkan peranannya.
"Usul ini dihantar bagi memastikan ruang perbahasan yang telus dan komprehensif akan berjalan dalam ruang lingkup demokrasi berparlimen serta lunas-lunas negara hukum (rule of law)," katanya.
Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk mengadakan sidang Parlimen pada 26 Julai, setelah berulang kali disarankan mengadakannya oleh Yang di-Pertuan Agong.
Parlimen telah digantung sejak 11 Januari susulan darurat iisytiharkan, dikatakan untuk memerangi pandemik Covid-19 - yang menjadi semakin buruk sejak itu.
Pengkritik menuduh kerajaan menggunakan darurat untuk kepentingan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang majoritinya di Parlimen tidak jelas.