Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Khairy Jamaluddin mengarahkan pemeriksaan yang lebih teliti sebelum orang ramai dibenarkan masuk ke pusat vaksinasi Covid-19 (PPV).
Ini berlaku setelah seorang individu positif Covid-19 berjaya memasuki pusat vaksinasi di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines di Seri Kembangan, Selangor pada Rabu lalu.
Individu itu hanya mengetahui mengenai status Covid-19 itu di pusat vaksinasi setelah diberitahu melalui panggilan, yang mendorong operasi ditangguhkan untuk sanitasi.
"Saya telah mengarahkan semua PPV untuk melakukan pemeriksaan yang lebih teliti di setiap pintu masuk supaya individu berisiko tinggi tidak dibenarkan masuk ke premis.
"Pada masa sama, saya ingin mengingatkan orang ramai yang telah menjalani ujian Covid-19 agar bertanggung jawab dan tidak hadir di PPV, baik untuk janji temu Covid-19 mereka atau sebagai peneman, selagi mereka belum menerima keputusan ujian," katanya pada satu kenyataan.
Mengenai dakwaan seorang individu telah disuntik dengan vaksin Covid-19 yang telah luput tarikh, Khairy yang juga menteri sains dan teknologi berkata perkara itu tidak benar.
Dia menjelaskan kekeliruan timbul ketika tarikh luput untuk vaksin Covid-19 pertama ditunjukkan untuk dos kedua.
"Kesalahan dalam data menyebabkan ini berlaku dan tarikh luput yang sebenarnya akan dikemas kini dalam aplikasi MySejahtera untuk individu yang terlibat," katanya.
Khairy juga menjelaskan usaha berterusan sedang dilakukan untuk menghentikan penjualan temu janji vaksin Covid-19.
KiniTV, pada laporan khas 10 Julai lalu, menyoroti bagaimana seorang ejen cuba menjual slot temu janji dengan harga lebih RM300, dikatakan dengan memanfaatkan 'kelemahan' dalam aplikasi MySejahtera dan sistem senarai menunggu.
Khairy berkata Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) telah bekerjasama dengan polis untuk menyiasat dakwaan tersebut sejak bulan Jun dan akan terus melakukannya.
Jelasnya, garis panduan telah dibuat untuk mencegah penyalahgunaan sistem senarai menunggu selain proses verifikasi.
Namun, dia tidak mengulas dakwaan 'kelemahan sistem' dalam aplikasi MySejahtera.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.