Sumber dalam Umno mengesahkan ketulenan audio suara Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman yang sedang beredar di media sosial sekarang, manakala Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkongsi rakaman itu pada hantaran di Facebook.
Audio berdurasi 15 minit itu dikatakan berlangsung ketika mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno baru-baru ini, apabila Presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Dalam klip audio itu, Tajuddin berkata keputusan untuk Umno menarik diri daripada menyokong Muhyiddin bukan keputusan Perhimpunan Agong Umno.
"Ini kerana keputusan PAU adalah untuk kita menarik diri daripada kerajaan (PN), tak ada sebut kata nak menarik sokongan kepada perdana menteri.
"(Ini) sudah lain ni, apakah ini after thought? Iaitu untuk mengambil tindakan mendesak supaya kita tarik daripada kerajaan itu nampaknya tak boleh jalan, jadi kita ubah sikit.
"Iaitu kita buat keputusan tarik sokongan kepada perdana menteri sahaja," katanya.
Tajuddin menolak keputusan Umno untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin kerana masa tidak sesuai dan parti itu dalam keadaan tidak bersedia menghadapi kemungkinan PRU15 di saat wabak Covid-19.
Dalam audio itu juga, ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata penarikan sokongan Umno tidak memberi jaminan kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan tumbang.
Sebaliknya kata pengarah pilihan raya Umno itu, PN mungkin boleh bekerjasama dengan DAP bagi mempertahankan kerajaan yang ada kini.
Dalam pada itu, Tajuddin berkata DAP mungkin akan menyokong PN untuk membentuk kerajaan jika Umno meninggalkan pakatan itu.
"Kalau kita tarik diri sekarang apakah anda fikir kerajaan akan tumbang. Mereka mungkin bekerja dengan DAP.
"Untuk dapatkan persefahaman, DAP akan sokong, mereka tak perlu sertai kerajaan, mereka sokong, mereka berikan undi untuk memastikan presiden (Bersatu) kekal sebagai perdana menteri, apa akan terjadi pada Umno," soal Tajuddin dalam klip audio itu.
Tajuddin berkata, semua pemimpin tertinggi parti tidak sama sekali ingin mengenepikan keputusan yang dibuat parti dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang lalu.
"Keputusan PAU kita menolak DAP, menolak PKR, menolak PPBM (Bersatu) dan mandat diberi kepada presiden dan juga MT untuk menentukan tarikh kita menarik diri daripada kerajaan.
"Siapa yang tak setuju untuk menarik diri, semua bersetuju, ahli MT setuju, ahli Parlimen setuju, saya nak tengok satu orang daripada ahli Parlimen siapa yang tak bersetuju. Semua setuju, jangan tuduh tak bersetuju
"Cuma yang disebutkan iaitu yang tidak bersetuju untuk buat sekarang. Ramai juga (ahli MT) yang berucap mengatakan bahawa 'timing' sekarang tak sesuai, tapi timbalan presiden kata tak peduli," kata Tajuddin dalam rakaman audio itu.
Pada 8 Jun lalu, Umno memutuskan untuk menarik balik sokongan mereka kepada Muhyiddin Yassin selaku perdana menteri serta merta.
Keputusan itu dbuat selepas mesyuarat MT Umno yang berlangsung secara dalam talian berakhir pada awal pagi.
Ahmad Zahid berkata, keputusan itu dibuat Majlis Tertinggi Umno berpandukan tujuh kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Justeru kata Zahid lagi, Umno mendesak agar Muhyiddin berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baru dilantik untuk satu tempoh yang terhad.
Menjelaskan lanjut, Tajuddin dalam klip audio itu juga berkata apa guna Umno menarik diri ketika ini sedangkan parti berada dalam keadaan tidak bersedia untuk menghadapi PRU.
Kata bekas pengerusi Prasarana itu, Umno tidak bersedia untuk menghadapi PRU ke15 dan masih banyak gerak kerja yang perlu dilakukan.
"Berapa banyak ni senarai, kawasan Parlimen yang tak bersedia, nama-nama besar pun ada tak mencapai lagi tahap undi asas untuk menang.
"Jentera kita, Wanita pun, ini Noraini boleh sahkan ni nak buat kerja pun tak ada 'fulus' (duit). JR nak buat kerja pun tak ada 'fulus'," katanya lagi.
Dalam rakaman audio itu juga kedengaran susana tegang antara Tajuddin dengan Ketua Puteri Umno, Zahida Zarikh Khan apabila memperkatakan soal persiapan parti.
Zahid tidak berpuas hati dengan serangan yang dilontarkan Tajuddin terhadapnya berhubung gerak kerja sayap parti itu