Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ada ditawar jawatan tetap, kemenangan kecil buat doktor kontrak
Diterbitkan:  Jul 12, 2021 7:48 PM
Dikemaskini: 11:48 AM

Doktor kontrak di hospital awam yang memperjuangkan isu layanan dan prospek kerjaya lebih baik memperoleh beberapa 'kemenangan kecil' setelah beberapa langkah diambil kerajaan.

Hartal Doktor Kontrak, laman Facebook rasmi gerakan itu yang mendesak kerajaan menangani isu pegawai perubatan secara kontrak berkata, mereka dimaklumkan beberapa doktor junior bagi pengambilan Mei 2017 telah ditawarkan jawatan tetap.

Minggu lalu, Kementerian Kesihatan juga mula menawarkan lanjutan kontrak selama setahun kepada doktor junior bagi pengambilan Disember 2016, supaya mereka dapat terus berkhidmat dalam membendung wabak Covid-19.

Kumpulan pengambilan ini menghadapi tekanan kerana latihan mereka selama lima tahun di hospital awam akan berakhir, dan setelah itu mereka mesti berpindah ke sektor swasta atau meneruskan latihan kepakaran di luar negara.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak merancang melakukan hartal untuk mengetengahkan isu membabitkan doktor junior tetapi tidak tampil di khayalak untuk mengelakkan tindakan disiplin.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) juga telah menganjurkan kempen Code Black untuk menunjukkan setiakawan bersama doktor junior ini tetapi tidak menyokong hartal berkenaan.

Laman Facebook Hartal Doktor Kontrak mengatakan kira-kira 300 doktor junior ditawarkan jawatan tetap mulai 15 Julai.

"Peluang ini ditawarkan kepada 300 pegawai perubatan yang sekarang bekerja secara  kontrak adalah bukti bahawa kehendak rakyat adalah kekuatan yang perlu diambil kira," katanya.

Bagaimanapun, kumpulan itu mempersoalkan mengapa jawatan tetap tidak ditawarkan kepada kumpulan doktor bagi pengambilan Disember 2016, sebaliknya diberi lanjutan kontrak selama satu tahun.

Beberapa pihak termasuk MMA, berkata lanjutan kontrak itu bukan penyelesaian yang tepat kerana doktor junior memerlukan laluan yang jelas untuk mengembangkan bidang kepakaran mereka.

Kumpulan Hartal Doktor Kontrak juga mempersoalkan apakah jawatan tetap akan diperluas kepada kumpulan pengambilan lain.

Ia menggesa Kementerian Kesihatan menangani masalah tersebut dan isu-isu lain yang berkaitan.

"Sekali lagi, kami ingin menyatakan bahawa kami bukan anarkis kepada sistem, kami hanya menuntut apa yang kami yakini adalah yang paling adil dan saksama bagi semua orang," katanya.

Para doktor junior yang melengkapkan latihan selama lima tahun di hospital awam bimbang mereka akan kehilangan kerja setelah tempoh mereka ditamatkan memandangkan tidak ada laluan kerjaya yang jelas di sektor awam.

Kekecewaan ini meningkat berikutan para doktor junior ini telah berusaha keras untuk membendung wabak Covid-19.

Kerajaan yang menghadapi kekangan kewangan sedang berusaha menyelesaikan isu tenaga kerja dalam sektor kesihatan awam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS