Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Permohonan Guan Eng pindahkan kes rasuah ke mahkamah tinggi ditolak

Kes rasuah membabitkan bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng yang berkaitan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang akan kekal dibicarakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas ketua menteri Pulau Pinang itu agar kes itu dibicarakan di mahkamah tinggi.

Hakim Muhammad Jamil Hussin juga menolak permohonan Lim untuk menangguhkan perbicaraan yang akan bermula di mahkamah sesyen esok sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan hari ini.

Terdahulu, hakim mendengar hujah dari pasukan pembelaan dan pihak pendakwaan berhubung permohonan untuk memindahkan kes itu dari mahkamah rendah ke mahkamah tinggi.

Lim dilaporkan memohon kes itu dipindahkan ke mahkamah tinggi pada Jumaat lalu.

Anggota Parlimen Bagan itu memohon Mahkamah Tinggi membicarakan kes tersebut agar keputusan berkaitan kes berkenaan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Di bawah sistem mahkamah di Malaysia, keputusan kes jenayah yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen hanya boleh dirayu ke Mahkamah Rayuan, manakala keputusan kes jenayah yang dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Adun Air Putih itu mendakwa Mahkamah Tinggi adalah tempat yang sesuai untuk kes rasuah itu dibicarakan kerana melibatkan beberapa isu perundangan, dan sekiranya berlaku rayuan, perkara itu sesuai didengar oleh Mahkamah Persekutuan.

Di antaranya adalah isu mengenai apakah seorang tertuduh perlu mendedahkan pernyataan pembelaannya kepada pihak pendakwaan sebelum perbicaraan bermula, serta isu sama ada keterangan saksi pendakwaan boleh dikongsi dengan pihak pembelaan sebelum perbicaraan.

Isu keterangan saksi adalah berkaitan dengan saksi pendakwaan Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, yang merupakan pengarah eksekutif kanan Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, kontraktor utama bagi projek terowong bawah laut berkenaan.

Lim sebelum ini menghadapi empat tuduhan rasuah di mahkamah sesyen.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai ketua menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di Kuala Lumpur pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS