Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Annuar dikompaun RM2,000 kes ziarah rumah Pak Lah
Diterbitkan:  Jul 12, 2021 3:25 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa dikenakan kompaun RM2,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), maklum Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah.

Ini selepas Annuar yang juga ahli parlimen Ketereh berkunjung ke kediaman bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

“Kes disiasat di bawah Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021," katanya pada kenyataan hari ini.

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata kompaun yang dikenakan terhadap Annuar akan dibayar secepat mungkin.

"Berkaitan kunjungan Annuar ke Bait Badawi (kediaman Abdullah) pada Sabtu 10 Julai lalu, beliau telah menerima kompaun daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan akan menjelaskan kompaun tersebut secepat mungkin," katanya.

Annuar pada Sabtu menarik perhatian ramai apabila berkongsi gambar dia berjunjung ke kediaman Abdullah dan ia kemudian menjadi tular di media sosial.

Ia menimbulkan rasa kurang senang dan mengundang kemarahan ramai kerana dibuat ketika perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) masih berkuat kuasa.

Mengikut SOP semasa PKPD, kunjungan ke rumah orang lain adalah dilarang dan orang awam sering diperingatkan mengenai larangan tersebut bagi memutuskan jangkitan Covid-19.

Bagaimanapun tidak lama kemudian Annuar memadam ciapan tersebut ketika akaun media sosialnya diserang tanpa henti oleh netizen yang kecewa serta tidak berpuas hati dengan tindakannya.

“Hari ini kami suami isteri ambil peluang ziarah Tun Abdullah Badawi dan Tun Jeane Abdullah di kediaman mereka di Bait Badawi di Kuala Lumpur.

“Lebih dua jam bersama dan makan tengah hari masakan Tun Jeane. Semoga Allah SWT sentiasa merahmati Pak Lah seisi keluarga,” ciapnya pada 10 Julai.

Januari lalu, Annuar sudah menimbulkan kontroversi ketika dilihat berjoging dengan dua individu dari kejiranan lain.

Bagaimanapun, Annuar berkata pertemuan itu berlaku secara kebetulan.

Dia sekali lagi didapati melanggar SOP pada Feb apabila dilihat makan bersama sekumpulan individu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS