Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Asrama doktor pelatih, kompleks rawatan harian HTAR dijadikan wad sementara
Diterbitkan:  Jul 11, 2021 6:14 PM
Dikemaskini: 10:14 AM

Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di Klang mengubah fungsi asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian kepada wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19 bermula Jumaat lepas.

HTAR menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan tindakan itu bagi menampung keperluan semasa susulan lonjakan kes di Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital berkenaan.

“Pimpinan tertinggi HTAR serta semua ketua jabatan dan unit mengambil inisiatif itu setelah semua penilaian risiko dianalisis, beberapa kawasan telah diubah suai fungsi menjadi wad sementara bagi menempatkan pesakit Covid-19.

“Antara kawasan yang telah dijadikan tempat rawatan pesakit Covid-19 adalah asrama doktor pelatih dan Kompleks Rawatan Harian, kedua-dua tempat ini mula menerima pesakit bermula lapan malam 9 Julai lepas,” menurut kenyataan itu.

Menurut HTAR bilangan kes harian di Selangor yang mencecah 4,000 sehari bukanlah petanda baik bagi hospital itu kerana kes harian di Jabatan Kecemasan turut meningkat mendadak sehingga tiada lagi katil untuk menempatkan pesakit-pesakit berkenaan.

HTAR berkata kakitangannya bagaimanapun tidak berputus asa untuk terus bersiap sedia dan bertindak dalam menangani lonjakan jumlah pesakit Covid-19 di hospital itu.

“Tanpa usaha dan sokongan daripada semua kakitangan HTAR yang sentiasa bertungkus lumus dan bersedia menghadapi krisis ini bersama, inisiatif ini tidak dapat direalisasikan. Pihak HTAR mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan yang membantu. Anda semua adalah Wira HTAR,” menurut kenyataan itu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS