Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pembantu rumah disyaki mangsa buruh paksa diselamatkan dari rumah majikan

Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa buruh paksa diselamatkan dari rumah majikannya di Taiping, Perak, dalam satu operasi bersama diketuai Jabatan Tenaga Kerja dua hari lalu.

Kementerian Sumber Manusia berkata, operasi itu dibuat susulan pemantauan selama dua hari selepas pihaknya mendapat maklumat daripada Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.

Turut terlibat dalam operasi pada pukul 6.30 pagi itu ialah Jabatan Tenaga Kerja Perak, polis Taiping dan pasukan petugas khas Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Mapo).

"Mangsa, seorang wanita warganegara Indonesia berumur 36 tahun dibawa masuk ke Malaysia oleh seorang ejen yang memaklumkan dia akan bekerja sebagai pembantu rumah serta dijanjikan gaji sebanyak RM1,000.

"Mangsa telah diminta untuk membayar sebanyak tiga bulan gaji sebagai bayaran perkhidmatan kepada ejen selepas mendapat pekerjaan," menurut kementerian itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, mangsa mula bekerja pada Disember 2017.

Siasatan awal mendapati ada unsur buruh paksa dan majikannya disyaki melakukan kesalahan menurut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyebut tentang sebarang tangkapan terhadap majikan.

Malaysiakini difahamkan tiada tangkapan dibuat semasa operasi tersebut.

Ketika dihubungi, seorang sumbar Jabatan Tenaga Kerja di Putrajaya mengesahkan majikan akan dipanggil ke pejabat jabatan itu di Perak pada minggu depan bagi memberi kenyataan, sebagai sebahagian daripada siasatan yang sedang berjalan.

Menurut kenyatan kementerian lagi, majikan wanita itu disyaki mengambil kesempatan dengan memanipulasi mangsa yang tiada permit kerja yang sah dan dikategorikan

sebagai pekerja asing tanpa izin (Pati), selain menjadikan isu itu sebagai ugutan untuk memaksanya melakukan pelbagai kerja rumah dengan tekanan mental dan fizikal.

"Mangsa juga pernah dipukul oleh majikan dengan menggunakan tangan apabila tidak berpuas hati dengan kerja-kerja yang dilakukan mangsa.

"Selain itu, mangsa tidak diberikan makanan sekiranya dia menyuarakan hasrat untuk kembali ke negara asal ataupun tidak mahu bekerja lagi dengan majikan terbabit.

"Malah, gaji mangsa kerap dibayar lewat dan pernah terjadi situasi di mana wang gaji yang telah diserahkan ke tangan mangsa diambil semula oleh majikan," katanya lagi.

Menurut kementerian itu, mangsa yang kini dalam trauma ditempatkan di rumah perlindungan selepas Mahkamah Majistret Taiping memberikan Perintah Perlindungan Interim selama 21 hari.

Buruh paksa dikenal pasti sebagai antara jenayah utama yang menyebabkan kedudukan Malaysia merosot ke tahap tiga dalam laporan Traficking in Persons (TIP) 2021 oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS).

Unsur buruh paksa bukan saja didapati dalam sektor pembuatan dan perladangan, tetapi di kalangan wanita yang menjadi pembantu rumah.

Pada bulan lalu, Menteri Sumber Manusia memberitahu Malaysia dan Indonesia akan meneruskan perbincangan bagi menandantangani memorandum persefahaman (MOU) berkenaan penambilan pembantu rumah.

Proses dua hala tertangguh sejak terma persetujuan kedua-dua negara tamat pada 2016.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS