Seorang ahli akademik dan pengamat politik di Universiti Kebangsaan Malaysia mengakui orang ramai kini tidak berdepan dengan isu negara gagal.
Bahkan kata Prof Mohammad Agus Yusoff kenyataan menteri Perikatan Nasional yang mempertahankan hujah itu juga adalah benar.
Pun begitu kata Agus hakikatnya yang gagal sekarang ialah kerajaan, bukannya negara.
"Saya bersetuju dengan kenyataan bahawa negara tidak gagal, tetapi kerajaan gagal. (Ia) gagal mengurus Covid-19 dan gagal mengurus kesejahteraan hidup rakyat," katanya hari ini.
Menjelaskan kenyataan itu di media sosial Agus berkata ketika ini pun rakyat tidak mendakwa negara ini sedang gagal.
"Rakyat cuma kata kerajaan gagal. Antara negara gagal dan kerajaan gagal itu berbeza," katanya.
Untuk rekod kemarahan dan kebimbangan orang ramai kian memuncak akhir-akhir ini selepas pelaksanaan darurat berpanjangan - sejak 11 Jan lalu - dan kuncitara (total lockdown) masih gagal melandaikan keluk jangkitan Covid-19.
Ia mendorong wujudnya tanda pagar #kerajaangagal dalam kalangan pengguna media sosial.
Ada pemimpin tak suka
Keadaan semakin membimbangkan ramai apabila keadaan semasa di hospital-hospital kerajaan menunjukkan ia berada dalam keadaan yang sesak. Petugas kesihatan pula semakin ramai dilaporkan melecuh (burnout).
Beberapa hari lalu portal Bloomberg pula menyiarkan laporan mengenai pandangan mendapati Malaysia sedang menuju ke arah negara gagal dengan inisiatif bendera putih menjadi antara petandanya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mustapa Mohamed, adalah antara ahli politik kerajaan yang tampil menyangkal dakwaan tersebut dan mempertahankan negara ini masih berfungsi dengan baik.
Agus berkata politik pada tahun ini berlangsung secara kacau apabila kerajaan mengisytiharkan darurat untuk mengawal Covid, tetapi ternyata ia tidak berkesan.
Akibat darurat itu katanya parlimen tidak berfungsi dan demokrasi digantung menyebabkan mekanisme semak dan imbang tidak berjalan seperti sepatutnya.
Untuk membantu sesama sendiri, katanya, muncul pula inisiatif bendera putih namun usaha sebegitu pula tidak disukai sesetengah pemimpin.
"Matikah jiwa pemimpin sehingga memperlekehkan usaha rakyat?" katanya.