Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maik beri kebenaran tambah tempat sembelihan korban

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) bersetuju memberi kebenaran kepada masjid bandar, jajahan dan mukim untuk menambah tempat sembelihan ibadah korban di lokasi yang sesuai.

Yang dipertuanya Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata kebenaran itu diberikan berikutan pihaknya mendapat makluman terdapat masjid yang tidak memenuhi kriteria ditetapkan garis panduan pelaksanaan ibadah korban dalam Fasa Satu Kawalan Pergerakan Pelan Pemulihan Negara (PPN) di Kelantan.

"Sehubungan itu, Maik memberi kebenaran menambah tempat sembelihan ibadah korban di lokasi yang sesuai dengan mematuhi perkara-perkara seperti kawasan yang dicadangkan tersebut dikawal selia oleh pihak masjid bandar, jajahan dan mukim.

"Selain itu, sembelihan diadakan di dalam kawasan berpagar dan mempunyai keluasan yang mencukupi sekurang-kurangnya 10 meter persegi. Tapak penyembelihan yang sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tengku Mohamad Rizam yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, jumlah maksimum sembelihan korban juga hendaklah tidak melebihi lima ekor sehari atau 20 ekor lembu dalam tempoh empat hari (20 Julai-23 Julai).

Menurutnya ibadah korban yang dijalankan juga perlu mendapat kebenaran Polis Diraja Malaysia.

"Kepatuhan semua pihak penganjur, peserta dan petugas dalam pelaksanaan ibadah korban, insya-Allah akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak Covid-19.

"Diharapkan dengan pelaksanaan dan pematuhan garis panduan ibadah korban ini akan membantu usaha memutuskan rangkaian wabak Covid-19," katanya.

Pada 2 Julai lalu, Kelantan membenarkan pelaksanaan ibadah korban dan proses penyembelihan haiwan untuk dilaksanakan di rumah sembelih ruminan Kompleks Abatoir Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di tiga jajahan iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.

Pelaksanaan itu turut dibenarkan di masjid bandar, jajahan, mukim dengan kelulusan Maik. Bagaimanapun aktiviti korban persendirian atau keluarga adalah tidak dibenarkan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS