Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenyataan Muhyiddin, Zahid letak jawatan palsu, kata pembantu
Diterbitkan:  Jul 10, 2021 7:14 PM
Dikemaskini: 11:26 AM

Dua kenyataan berasingan yang mendakwa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi letak jawatan adalah palsu, menurut pembantu kedua-dua pemimpin itu.

Kenyataan palsu mengenai Muhyiddin meletakkan jawatan mendakwa perdana menteri itu berundur selepas kerajaan gagal membendung Covid-19.

Pejabat Muhyiddin menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, kenyataan palsu mengenai peletakan jawatan Zahid dikaitkan dengan Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan. Surat palsu itu tidak menyatakan sebab peletakan jawatan. Pegawai Zahid menafikan dakwaan itu.

Kenyataan palsu itu hadir setelah Zahid mencabar Muhyiddin untuk meletakkan jawatan susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno memutuskan menarik balik sokongan kepada perdana menteri.

Untuk rekod, tidak jelas jumlah ahli parlimen Umno daripada 38 kesemuanya yang menyokong keputusan itu.

Pengkritik Zahid menyifatkan presiden Umno itu tidak memberi gambaran sebenar keputusan MKT Umno.

Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob, yang tidak bersetuju partinya menarik diri daripada menyokong PN mendakwa sebahagian besar ahli MKT Umno juga tidak menyokong keputusan itu.

Berdasarkan penelitian Malaysiakini, Zahid mendapat sokongan sekurang-kurangnya sembilan ahli parlimen Umno.

Namun, dia tidak mungkin dapat menyingkirkan Muhyiddin dalam waktu terdekat..

Peguam Negara Idrus Harun pula berkata "tiada fakta jelas" Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti ahli parlimen.

Kata Idrus, majoriti mesti diputuskan oleh setiap ahli parlimen itu sendiri dan bukannya melalui kenyataan presiden parti.

Parlimen hanya akan bersidang pada 26 Julai ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS