Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Suhakam siasat dakwaan kes kematian tahanan Penjara Kajang
Diterbitkan:  Jul 9, 2021 9:26 PM
Dikemaskini: 1:26 PM

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sedang menyiasat satu lagi dakwaan kes kematian dalam tahanan yang kedua belas dilaporkan tahun ini.

Hal berkenaan selepas seorang tahanan di penjara Kajang dilaporkan meninggal dunia pada 21 Jun lalu dalam keadaan yang didakwa mencurigakan.

Mendiang Roopan Karnagaran, 25 tahun, telah meninggal dunia lapan hari sebelum mahkamah mendengar rayuannya atas tuduhan membunuh.

Keadaan sekitar kematiannya terungkap pada sidang media maya hari ini, yang dihadiri oleh ahli keluarganya, NGO Suaram, Suhakam dan aktivis lain.

Menurut Anggota Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) S Arulchelvan, Roopan antara dua individu yang ditangkap empat tahun lalu kerana didakwa terlibat dalam tiga pembunuhan yang berlaku pada tahun 2013.

Pada mulanya, dipercayai Roopan tidak dianggap sebagai suspek sehinggalah polis didakwa menemukan DNAnya di tempat kejadian empat tahun kemudian.

Dia dihukum pada 2020, tetapi menegaskan dia tidak bersalah. Rayuannya dijadualkan untuk didengar pada 29 Jun.

Kematian Roopan berlaku selepas dia ditempatkan di hospital selama empat hari menurut kronologi peristiwa yang disediakan oleh Suaram.

Pada 17 Jun, keluarga menerima panggilan Roopan telah dikejarkan ke Hospital Kajang kerana sesak nafas.

'Covid-19 atau darah beku di kaki'

Pada 19 Jun, keluarga diberitahu Roopan mengalami jangkitan jantung dan perlu dimasukkan ke wad selama lima ke enam hari.

Dua hari kemudian, dia dikeluarkan dari wad.

"Pada hari Isnin (21 Jun), kami ingin mengetahui keadaannya. Semasa saya bertanya kepada pihak hospital, mereka mengatakan bahawa dia tidak mempunyai Covid-19 jadi dia dipindahkan ke Wad 1,” kata bapa saudara Roopan, Sevakumar Kanapathy pada sidang media itu.

"Ketika saya menelefon Wad 1, mereka memberitahu saya bahawa dia tidak mempunyai Covid-19 dan dia dibenarkan discaj dari hospital," tambahnya.

Namun, tanpa diketahui oleh keluarga, Roopan sudah meninggal dunia.

Menurut kronologi Suaram, setelah keluar dari hospital Roopan menjadi tidak sedarkan diri sekitar jam 11.30 pagi ketika berada di bilik pengasingan di penjara Kajang.

Dia kemudian dikejarkan kembali ke Hospital Kajang dan dia dinyatakan meninggal pada pukul 12 malam - kira-kira satu setengah jam sebelum Sevakumar menelefon hospital untuk memeriksa keadaan Roopan.

Keluarga dilaporkan diberitahu mengenai kematiannya sekitar jam 2 petang.

Ketika keluarga itu pergi ke bilik mayat kemudian, seorang inspektor polis dilaporkan memberitahu mereka bahawa Roopan positif Covid-19, bertentangan dengan apa yang diberitahu oleh hospital sebelum ini.

Hospital Kajang kemudiannya mengesahkan bahawa Roopan positif Covid-19.

Bagaimanapun, ini tidak dinyatakan sebagai penyebab kematian pada sijil kematiannya.

Punca kematian dilaporkan sebagai darah beku di kaki Roopan.

Pengarah Eksekutif Suaram Sevan Doraisamy, yang turut hadir pada sidang media itu, berkata keadaan sekitar kematian Roopan memerlukan siasatan.

"Kami berharap agar Suhakam dapat menyiasat kematian pelik Roopan. Bagi kami, ada unsur-unsur kecuaian dan penyalahgunaan kuasa,” dakwanya ketika menyerahkan memorandum secara dalam talian kepada Suhakam.

Pesuruhjaya Suhakam, Madeline Berma berkata suruhanjaya hak asasi manusia itu memandang serius kes ini kerana ia melibatkan "kehidupan manusia".

“Seperti biasa, Suhakam akan menjalankan siasatan tanpa berat sebelah. Kami, sebagai pesuruhjaya hak asasi manusia, akan memastikan keadilan kepada Roopan yang telah meninggal dunia dan saudara terdekatnya,” katanya lagi.

[Baca laporan asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS