Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Guna pakai maksimum? Kenapa ada PPV lengang?

Antara jalan keluar kepada penderitaan rakyat Malaysia daripada terus ‘dikurung’ ialah “segera” melaksanakan vaksinasi bagi mewujudkankan imunisasi kelompok.

Suntikan harus diberikan kepada 80% rakyat Malaysia yang berjumlah 32.75 juta, terutamanya di kalangan warga dewasa.

Jabatan Perangkaan dalam laporan perangkaan suku tahun pertama 2021 menunjukkan warganegara Malaysia berjumlah 29.91 juta (91.3%) dan bakinya 2.84 juta.

Statistik juga menunjukkan golongan dewasa berumur 15-65 ke atas berjumlah 25.17 juta manakala kanak-kanak bawah 14 tahun ke bawah seramai 7.56 juta orang.

Bermakna bagi tujuan mendapat imunisasi kelompak yang berkesan kita perlu memberikan vaksin 80% dari 25.17 juta warga negara dewasa (20.14 juta).

Bagaimanapun berdasarkan statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), seramai 17,452,973 rakyat Malaysia setakat ini berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Tetapi hanya 6,999,554 sahaja menerima dos pertama - 40%.

Kita kena ingat warganegara dewasa negara kita seramai seramai 20.14 juta, tanpa masukkan sekali bukan warganegara.

Berdasarkan aplikasi JKJAV terdapat 521 lokasi pemberian vaksin (PPV) di seluruh negara dan dikhabarkan meningkat ke 1,500 buah.

Kita dimaklumkan bahawa rekod pemberian vaksin harian mencecah 200,000 ke 300,000 kebelakangan ini tapi data tersebut tidak kelihatan di aplikasi JKJAV tersebut.

Kita berpandangan pemberian vaksin masih dalam keadaan rendah.

Kita mengharapkan Menteri Mosti Khairi Jamaluddin melipat gandakan usaha supaya lebih ramai rakyat menerima dos pertama.

Seramai 60% lagi yang mendaftar dengan MySejahtera masih menunggu penetapan tarikh.

Saya berpandangan tidak perlu membuka banyak PPV di merata tempat sedangkan guna pakai maksimum adalah rendah, berdasarkan pemerhatian saya di tiga lokasi berbeza, iaitu IDCC Shah Alam (suntikan sendiri), Setia Alam CC (isteri saya) dan Dewan Bandaran Batu Gajah, Perak (ibu saya).

Hampir lenggang, nampaknya kerusi saja yang banyak sedang penerima kurang.

Kadar vaksin di Selangor (paling tinggi jangkitan baru dengan 4,152 setakat 08 Julai) di Malaysia adalah mengusarkan memandangkan negeri itu mempunyai penduduk kira-kira 6.3 juta.

Warga dewasanya seramai 4,210,573 juta orang.

Setakat ini hanya 1,314,946 juta (20.1%) sahaja telah mendapat dos pertama (setakat 8 Julai)

Berkurung di rumah

Dalam lain perkataan, orang di negara Eropah berduyun-duyun memasuki stadium di Wembley, London, Amsterdam, Rom, St Peterburg dan Budapest untuk menyaksikan kejohanan bola sepak Euro 2020, kita masih terkial-kial mendapatkan tarikh untuk vaksin dos pertama.

Kita masih terkurung di rumah pada satu PKP kepada satu PKP yang tiada kesudahannya.

Kita juga mempertikaikan bagaimana kerajaan pusat melalui Miti mengenakan bayaran kepada pengurusan kilang dan syarikat sebanyak RM90 bagi dua dos suntikan vaksin kepada bawah program Pikas (Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta).

Begitu juga dengan Program Selvax yang dikendalikan anak syarikat kerajaan negeri dengan mengenakan bayaran RM350 bagi dua dos suntikan.

Ini saya anggap menekan dan membeban pihak syarikat dan kilang besar yang mempunyai ramai pekerja mahupun industri kesil dan sederhana (SME) yang kebanyakannya terkesan ekoran pandamik ini.

Kerajaan persekutuan dan negeri tidak wajar mengambil kesempatan ke atas syarikat dan kilang/industri dengan alasan “kalau mau cepat vaksin pekerja masing-masing, kena bayar”.

Sedangkan, kita sedia maklum bahawa kerajaan persekutuan melalui Mosti telah membeli bekalan vaksin untuk semua rakyat Malaysia (termasuk pekerja-kerja kilang/industri) tersebut dengan peruntukan RM5 bilion tempoh hari.


ABDUL RAZAK ISMAIL ialah setiausaha Otai Reformis 1998.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS