Kempen secara fizikal dan dalam talian selama tiga hari yang dinamakan #Lawan bakal bermula esok (10 Julai) sebagai protes terhadap cara kerajaan menangani wabak Covid-19.
Penganjur kempen Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) menyenaraikan tiga tuntutan yang perlu dipenuhi segera, iaitu supaya Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai perdana menteri, mengadakan sidang Parlimen secara penuh dan penamatan darurat.
“Setelah hampir tujuh bulan pelaksanaan darurat dan sebulan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP 3.0), kerajaan masih gagal mengawal kes jangkitan Covid-19
“Semalam, jangkitan baru Covid-19 mencecah 8,868 kes dengan 135 kematian yang menjadikan jumlah tersebut sebagai angka kematian harian tertinggi,” kata SSR dalam kenyataan hari ini.
SSR membangkitkan yang lebih daripada 5,900 orang telah kehilangan nyawa akibat wabak tersebut sejak ia mula melanda negara.
Ia juga memetik kenyataan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengesahkan masih terdapat ramai pesakit kritikal Covid-19 yang tidak mendapat penempatan atau rawatan di hospital kerana kesesakan dan kekurangan katil di wad mahupun di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Ini jelas menunjukkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diketuai oleh Muhyiddin telah gagal untuk memimpin negara ini keluar daripada pandemik Covid-19,” katanya.
Kempen itu akan diadakan secara fizikal dan dalam talian dari Sabtu hingga Isnin ini (10-12 Julai).
SSR berkata bagi mereka yang ingin menyertai protes tersebut boleh melakukannya dengan memasang bendera hitam di rumah, berpakaian hitam ketika keluar membeli barangan keperluan dan mengibarkan bendera hitam pada kenderaan masing-masing.
Mereka yang menyertai protes itu diminta mengambil gambar dan memuatnaiknya di media sosial dengan tanda pagar #Lawan secara konsisten selama tiga hari bermula jam tiga petang esok.
SSR menggesa orang ramai untuk turut serta, sambil menekankan ia membawa mesej yang keadaan rakyat di negara ini sudah mencapai tahap kritikal.
“Tindakan ini juga adalah susulan kepada kempen yang telah dilaksanakan pada minggu lepas dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu terus #Lawan sehingga ketiga-tiga tuntutan di atas dilaksanakan,” katanya.
Sebelum ini kempen "Bendera Hitam” yang menuntut Muhyiddin meletakkan jawatan menjadi sohor di media sosial apabila ramai warga maya berkongsi gambar bendera hitam sebagai tanda sokongan.
Ketika itu, tanda pagar #lawan ditulis lebih 72,000 kali, manakala satu lagi tanda pagar #BenderaHitam yang turut digunakan oleh penyokong kempen berkenaan digunakan dalam lebih 17,000 ciapan.