Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bilangan katil ditambah, hospital medan dibuka di Selangor

Semua hospital di Selangor menerima peningkatan kes Covid-19 yang tinggi terutama melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan sejak akhir bulan lalu, kata Pengarah Kesihatan Selangor Dr Sha’ari Ngadiman.

Susulan itu, Dr Sha'ari berkata pihaknya sedang melakukan penambahan bilangan katil melalui pengaktifan hospital medan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perolehan darurat peralatan perubatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

“Mobilisasi kakitangan kesihatan luar dari Lembah Klang turut dijalankan bagi membantu situasi Covid-19 meliputi pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JKNS, malam tadi.

Dia menerangkan status semasa keadaan hospital di Selangor susulan tular gambar keadaan jabatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari menjelaskan bahawa peningkatan kemasukan pesakit akut di jabatan kecemasan Hospital Shah Alam berlaku susulan hospital tersebut kini dijadikan hospital berpakar major bukan Covid-19 yang memberi rawatan akut pesakit bukan Covid-19 sekitar daerah Petaling.

“Bagi HTAR Klang pula, kebanyakan pesakit telah dirawat terlebih dahulu di jabatan kecemasan sementara menunggu katil di wad. Oleh itu, pertambahan katil terpaksa dilakukan di luar jabatan kecemasan HTAR untuk sementara.

“Pihak HTAR dan Hospital Shah Alam dalam proses menambah kapasiti katil di hospital masing-masing,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan mengumumkan sebuah lagi hospital medan (ATM) akan diwujudkan di HTAR berikutan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Selangor yang semakin meningkat.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS