Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Satu lagi kenyataan tanpa nama dakwa wakili 'semua MP BN'
Diterbitkan:  Jul 8, 2021 10:33 PM
Dikemaskini: 3:55 PM

Satu lagi kenyataan bersama yang mendakwa mewakili "semua ahli parlimen BN" muncul, kali ini mendakwa bahawa mereka semua bersetuju untuk menyokong Muhyiddin Yassin untuk berkhidmat sebagai perdana menteri.

"Ahli Parlimen BN" itu mengatakan bahawa keutamaan mereka sekarang adalah memastikan kejayaan Pelan Pemulihan Negara dan Muhyiddin meneruskan agenda "membela rakyat".

Kenyataan bersama itu tidak mengandungi kepala surat rasmi BN, dan juga tidak mempunyai senarai penandatangan.

Bagaimanapun, FMT melaporkan bahawa pembantu kepada Timbalan Perdana Menteri yang baru dilantik Ismail Sabri Yaakob mengesahkan kenyataan itu sebagai "sahih".

Beberapa ahli parlimen BN, seperti Annuar Musa (Umno-Ketereh), memberitahu Malaysiakini bahawa mereka turut serta dalam kenyataan itu. Sementara yang lain memberikan jawapan yang tidak jelas.

Percubaan untuk menghubungi Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir untuk mendapatkan komen tidak berjaya.

Ketika laporan ini ditulis, Malaysiakini tidak dapat mengesahkan sama ada kenyataan ini mewakili semua ahli parlimen BN.

Zahid, dalam kapasiti sebagai presiden Umno, menyatakan bahawa majlis kerja tertinggi (MKT) Umno telah memutuskan untuk menarik balik sokongan parti itu kepada Muhyiddin.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pekan Najib Razak mempersoalkan dakwaan dalam kenyataan terbaru yang mendakwa mewakili "semua ahli parlimen BN".

"Eh.. saya pun ahli parlimen BN. Sejak bila saya setuju langgar arahan MKT parti semalam?

"Siapa ada senarai penuh nama-nama yang dimaksudkan dalam kenyataan yang dikeluakan entah pihak mana ini?

"Saya yang tandatangan watikah pencalonan bagi setiap ahli parlimen BN yang ada hari ini.

"Sebab itu, saya tentu akan kenal nama setiap orang ahli parlimen BN. Sila beri senarai nama," katanya di Facebook.

 

Ini adalah kali kedua sejak 23 Jun di mana kenyataan yang mendakwa mewakili "semua ahli parlimen BN" muncul.

Kenyataan sebelum ini mendakwa bahawa Ahli Parlimen BN tidak akan menyokong undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

Kenyataan sebelumnya pada mulanya dikaitkan dengan Ismail Sabri dan kemudian dikaitkan dengan "semua Ahli Parlimen BN".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS