Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sejuta dos vaksin diberikan dalam tempoh 3 hari - Noor Hisham

Malaysia telah mencapai sejuta vaksinasi dalam tempoh tiga hari, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Menerusi ciapan di laman Twitter beliau, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 375,842 dos suntikan vaksin COVID-19 semalam menjadikan ia jumlah tertinggi yang diberikan dalam tempoh sehari.

Sementara itu, Penasihat Khas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Profesor Madya Dr Mohd Ghows Mohd Azzam dalam ciapannya pula menyebut Malaysia telah melepasi jumlah 10 juta dos yang diberikan setakat hari ini.

Beliau turut berkongsi ciapan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) yang menyatakan bahawa sejumlah 10,036,361 dos vaksin COVID-19 telah diberikan kepada rakyat di seluruh negara setakat semalam.

Jumlah itu merangkumi 6,999,554 penerima vaksin dos pertama dan 3,036,807 individu yang menerima suntikan vaksin kedua mereka.

Selain 375,842 dos suntikan vaksin COVID-19 yang diberikan semalam, sejumlah 340,043 diberikan pada Selasa (6 Julai) dan 313,761 pada Isnin (5 Julai).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS