Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
PKPD Seremban: KPDNHEP beri jaminan bekalan makanan cukup

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini bermula esok.

Pengarahnya Ain Arjuna Aziz Zaman berkata hasil pemantauan yang dijalankan pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri bersama-sama pegawai pemantau harga mendapati bekalan barangan keperluan asas adalah mencukupi di semua peringkat rantaian perniagaan.

Jelasnya sebanyak 3,010 premis melibatkan 'hypermarket', 'supermarket', 'mini market', kedai runcit, pasar awam dan lain-lain premis perniagaan diperiksa sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

"Pemantauan harian terhadap 151 peruncit terpilih daerah dan 33 pemborong terpilih daerah turut dilakukan," katanya dalam kenyataan di Seremban, hari ini.

Beliau berkata pengguna dinasihati membuat pembelian secara biasa dengan kuantiti yang diperlukan bagi mengelakkan gangguan rantaian bekalan berlaku di daerah ini.

Pengguna juga disarankan membuat pembelian secara dalam talian bagi mengurangkan pergerakan fizikal di premis perniagaan dan boleh menyalurkan aduan melalui Portal e-aduan.kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my) dan talian di WhatsApp 019-2794317, katanya.

PKPD di seluruh Seremban bermula esok hingga 22 Julai.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS