Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengumumkan banyak bantuan untuk rawatan Covid-19 di Lembah Klang berikutan laporan bahawa kemampuan hospital di sini berada di ambang kelumpuhan.
Bantuan tambahan itu termasuk mendirikan lebih banyak katil unit rawatan intensif (ICU), hospital medan, bekalan tangki oksigen dan pusat rawatan berisiko rendah.
Pekerja kesihatan dari negeri-negeri lain juga akan digerakkan ke kemudahan kesihatan di Lembah Klang yang menghadapi tekanan luar biasa akibat gelombang Covid-19 ketika ini.
Di bawah ini, Malaysiakini menyenaraikan bantuan yang diumumkan untuk hospital dan kemudahan individu:
Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (Selangor)
Bekalan bernilai RM1.1 juta akan diberikan. Ini termasuk 60 katil dan peralatan tambahan yang tidak dinyatakan oleh Kementerian Kesihatan. Tentera juga akan membantu mendirikan hospital medan dengan 50 katil.
Ini selepas pihak hospital memasang katil kanvas di luar bangunan Jabatan Kecemasannya.
Sumber hospital sebelum ini memberitahu Malaysiakini sebanyak 150 pesakit Covid-19 menunggu katil di Jabatan Kecemasan. Video keadaan jabatan yang penuh sesak itu juga beredar di media sosial dalam beberapa hari terakhir.
Dalam beberapa keadaan, prosedur kecemasan terpaksa dilakukan di lantai kerana kehabisan katil rawatan.
Maeps Serdang (Selangor)
Kemudahan ini akan memberi tumpuan merawat pesakit Kategori Tiga dan Kategori Empat.
Seramai 118 pekerja kesihatan telah dikerahkan ke sini. Daripada jumlah tersebut, 75 petugas merupakan pegawai perubatan, paramedik dan pemandu dari Kedah, Perak dan Terengganu.
Seramai 43 yang lain pula melibatkan pegawai perubatan dari hospital Lembah Klang. Mereka akan ditempatkan di sini sementara untuk tempoh antara satu hingga enam bulan.
KKM berkata lebih ramai pekerja kesihatan dari kawasan lain juga akan dihantar ke sini. Sebanyak 1,550 tong silinder oksigen juga akan dibekalkan. Ini merangkumi 1,000 tong silinder 1.4m3, 400 silinder 6.8m3 dan 150 silinder 0.7m3.
Kementerian juga akan membeli bekalan oksigen serta 300 peranti penumpu oksigen. KKM akan melakukan ujian dan pentauliahan untuk 30 peranti penumpu oksigen baru.
Adham berkata 154 katil Kategori 4 di Maeps tidak mencukupi manakala katil untuk pesakit Kategori 1, Kategori 2 dan Kategori 3 hampir digunakan sepenuhnya.
Dia berkata kemudahan itu menerima rata-rata 800 pesakit setiap hari di mana seperempat (200) adalah pesakit Kategori 4.
Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Serdang (Selangor)
Lapan katil ICU dan 45 katil biasa akan ditambahkan supaya pesakit Kategori Empat dan Kategori Lima Covid-19 dari Maeps dapat dipindahkan ke sini dengan segera.
Institut Latihan Kementerian Kesihatan, ILKKM, Sungai Buloh (Selangor)
Dibuka semula dengan 2,400 katil supaya pesakit Kategori Satu dan Kategori Dua dari Maeps dapat dipindahkan ke sini.
Hospital Ampang (Selangor)
Dua puluh katil ICU akan ditambahkan ke hospital Covid-19 ini.
Laman web berita kesihatan CodeBlue sebelum ini melaporkan bahawa hospital berkenaan telah menerima jumlah pesakit Kategori 4 yang tinggi dari Maepas, sehingga 120 orang dalam satu hari.
Hospital ATM Tuanku Mizan, Wangsa Maju (Kuala Lumpur)
Digerakkan untuk merawat pesakit Kategori 3 dan Kategori 4.
Bantuan tambahan lain
KKM juga akan menggerakkan sukarelawan badan-badan seperti Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia untuk membantu menjaga kanak-kanak positif Covid-19 yang ibu bapanya dimasukkan ke hospital kerana wabak itu.
Ia akan terus bekerjasama dengan sektor swasta termasuk hospital swasta dan majikan untuk menubuhkan lebih banyak Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC) dan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.