Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kerajaan interim perlu dihad 3 hingga 6 bulan - Najib
Diterbitkan:  Jul 8, 2021 3:51 PM
Dikemaskini: 7:51 AM

Pentadbiran kerajaan interim yang akan mengambil alih pentadbiran Muhyiddin Yassin haruslah dihadkan tidak melebihi tiga ke enam bulan sahaja, kata bekas perdana menteri Najib Razak.

Cadangan kerajaan interim itu susulan penarikan sokongan Umno kepada perdana menteri yang diputuskan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno tengah malam semalam.

Najib berkata, Umno memutuskan untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin dan bukan kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi memberi laluan pentadbiran sementara yang bermatlamat menyelesaikan isu wabak Covid-19, bantuan rakyat dan imuniti kelompok.

Langkah sementara itu, katanya, bukan untuk menggantikan kerajaan sedia ada yang terbina atas 'pengkhianatan dan kuasa katak'.

“Sebab itu, kerajaan interim ini perlu ada tempoh hadnya dengan matlamat jelas. Tidak boleh melebihi tempoh tiga ke enam bulan sebab ia juga sebuah kerajaan pintu belakang dengan majoriti tipis yang bukan pilihan rakyat.

“Lagipun tempoh untuk parlimen terbubar dengan sendirinya juga cuma kurang dua tahun lagi sebelum penggal PRU (pilihan raya umum) ini berakhir.

“Umno dan BN tak takut untuk menghadapi rakyat apabila tiba masanya,” kata Najib di Facebooknya.

Najib berkata, selepas tempoh berkenaan dan matlamat dapat dicapai, parlimen harus dibubarkan dan mandat dikembalikan kepada rakyat untuk memilih kerajaan.

Awal pagi hari ini, Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Umno menarik balik sokongan kepada Muhyiddin serta-merta, akibat tujuh kegagalan kerajaan PN.

Antaranya, kegagalan menangani wabak Covid-19, menyalahgunakan darurat, gagal mempertahankan sistem demokrasi berparlimen, gagal mengurus kestabilan politik dan

ekonomi, gagal menguruskan bantuan kepada rakyat, serta memperkotak-katikkan titah Agong.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS