Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sumber: MP Umno diberi kelonggaran di Dewan Rakyat

Umno telah memutuskan untuk menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, namun perkara itu diserahkan kepada ahli-ahli parlimennya untuk diputuskan, kata sumber.

Malaysiakini difahamkan bahawa selain menarik sokongan, Majlis Tertinggi (MT) Umno juga memutuskan untuk menyerahkan kepada 38 ahli parlimennya untuk mengundi ketika persidangan Dewan Rakyat.

Perkara itu tidak disebutkan dalam kenyataan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi tengah malam tadi, dan ini menimbulkan tanda tanya di kalangan pengkritiknya.

Seorang anggota Majlis Tertinggi, yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin, memberitahu Malaysiakini bahawa kelonggaran ini diberikan hanya bagi tujuan mengundi berkaitan Ordinan Darurat.

"Kelonggaran untuk tarik sokongan itu tak disebut," kata sumber itu dengan syarat tidak mahu disebutkan namanya.

Namun, satu lagi sumber Umno berpendapat bahawa Dewan Rakyat adalah tempat terbaik untuk menentukan sokongan kepada PM.

"Bagaimana nak buktikan tarik sokongan kalau bukan melalui undi?" kata sumber berkenaan.

Sementara itu, satu rakaman audio didakwa sedutan rakaman mesyuarat MT Umno semalam, memutarkan suara mirip Zahid yang berkata ahli-ahli parlimen diberikan kebebasan untuk mengundi di parlimen mengikut budi bicara mereka.

“Kita memberi kuasa kepada ahli-ahli Parlimen Umno bahawa apabila ada persidangan parlimen diadakan, dan ketika ada agenda pengundian, sama ada pengundian percaya atau tidak percaya, kita serahkan kepada budi bicara YB ahli-ahli parlimen untuk membuat keputusan di parlimen, sebagaimana yang dihasratkan ketika saya menghadap tuanku (Yang di-Pertuan Agong).

“Untuk itu parti membuat keputusan bahawa parti menarik sokongan kepada YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri. Ini adalah merupakan keputusan parti, namun keputusan untuk ahli-ahli parlimen, adakah merupakan keputusan yang telah saya sebutkan di awal tadi,” katanya.

Malaysiakini sedang mengesahkan kesahihan rakaman audio berkenaan.

Masih belum jelas berapa ramai ahli parlimen Umno yang akan mematuhi keputusan Majlis Tertinggi untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Majoriti ahli parlimen Umno dipercayai berpihak kepada Ismail Sabri Yaakob dan Hishammuddin Hussein, yang masing-masing dinaikkan pangkat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kanan, semalam.

Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, yang menyokong Umno kekal dalam Perikatan Nasional (PN), memberitahu Malaysiakini bahawa status quo masih kekal buat masa ini.

"Maka kami ahli parlimen PNBBC (Ahli-ahli Parlimen Penyokong Kerajaan Perikatan Nasional) dan majoriti daripada kami MP BN, akan terus menyokong kerajaan yang ada sekarang yang dipimpin perdana menteri," katanya ketika dihubungi.

Pengerusi PNBBC itu juga berkata keputusan Majlis Tertinggi Umno malam tadi membingungkan kerana ia menunjukkan parti itu "menyokong kerajaan PN tetapi tidak menyokong perdana menteri".

Shahidan, dan seorang lagi ahli parlimen Umno, Annuar Musa, berkata keputusan MT Umno malam tadi perlu diperjelaskan.

Malaysiakini difahamkan bahawa MT Umno tidak membuat keputusan untuk memaksa menteri-menteri Umno melepaskan jawatan mereka dari kerajaan.

Veteran Umno, Shahrir Samad berkata, menteri-menteri daripada parti itu tidak perlu mengundurkan diri walaupun mereka mahu Muhyiddin berundur.

Begitu juga, ahli MT Umno, Armand Azha Abu Hanifah yang mengatakan Zahid merestui pelantikan Ismail sebagai timbalan perdana menteri semalam.

Sementara itu, Umno juga mungkin berdepan cabaran untuk meminta Ahli parlimen mereka dari Sabah menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Ahli Parlimen Kimanis, Mohamad Alamin memberitahu Malaysiakini bahawa pertimbangan perlu dibuat kerana Umno Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bersama dengan parti Bersatu yang dipimpin Muhyiddin.

"Saya harus buat pertimbangan, kerana ada GRS di Sabah.

"Bagi saya, Sabah diutamakan," kata Mohamad ketika dihubungi.

Walaupun terdapat halangan, Umno tidak memerlukan semua ahli parlimennya menarik sokongan agar Muhyiddin hilang sokongan majoriti.

Meskipun Ahli Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz kembali menyokong Muhyiddin, Umno memerlukan dua ahli parlimen untuk menarik sokongan mereka agar parlimen digantung dan tiga ahli parlimen untuk menarik sokongan mereka agar perdana menteri memiliki sokongan minoriti.

Laporan tambahan oleh Hariz Mohd


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS