Kakitangan hospital yang positif itu terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Dr Mohd Hayati Othman mengesahkan seramai 30 kakitangan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani didapati positif Covid-19.
Mohd Hayati dipetik Harian Metro berkata, kakitangan hospital yang positif itu terdiri daripada doktor, jururawat dan pekerja bahagian pembersihan hospital berkenaan.
Kata Hayati lagi mereka juga dipercayai membabitkan penularan varian Delta dan Beta.
Varian Delta (B.1.617) berasal dari India dan Varian Beta (B.1.351) berasal dari Afrika Selatan. Kedua-dua varian ini paling mudah dan pantas merebak.
Hayati Othman juga memaklumkan beberapa jabatan ditutup sementara untuk sanitasi tetapi selebihnya hospital awam akan terus beroperasi.
"Hospital ini tidak ditutup dan tidak berlaku penutupan semua bahagian, hanya wad tertentu sahaja yang ditutup untuk proses sanitasi dengan bahagian perkhidmatan kecemasan terus beroperasi seperti biasa.
"Bagaimanapun mereka yang perlu melakukan rawatan susulan di klinik pakar, tarikh temujanji dan jadual akan disusun semula," katanya lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Hayati menjelaskan pihaknya meminta orang ramai supaya tidak resah dengan kejadian ini kerana ia sedang dikendalikan JKN dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Menurutnya, orang ramai perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta tidak keluar rumah jika tiada keperluan.
Sementara itu, memetik laporan Kosmo!, Mohd Hayati menafikan dakwaan yang tular di media sosial kononnya dilaksanakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di hospital tersebut.
“Dakwaan kononnya hospital itu menjadi lubuk virus juga agak keterlaluan.
"Memanglah ada beberapa klinik ditutup seperti klinik pesakit luar untuk proses sanitasi tetapi untuk urusan lain seperti khidmat pandu lalu bagi mendapatkan ubat-ubatan atau bersalin masih dibenarkan.
“Cumanya setakat ini, kes-kes dari hospital lain tidak akan dirujuk ke HSAH. Kes-kes itu akan dirujuk ke hospital lain antaranya Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar,” katanya.
Kedah mencatatkan 198 jangkitan Covid-19 baru dan satu kematian.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.