Bekas Ahli Parlimen Johor Baru, Shahrir Samad berkata penarikan sokongan Majlis Tertinggi Umno dan desakan supaya Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berundur secara terhormat mengingatkan peristiwa serupa selepas PRU12 pada tahun 2008.
"Muhyiddin telah terus duduk dalam Jemaah Menteri selepas menyatakan Abdullah Badawi sepatutnya meletakkan jawatan sebagai PM dengan seberapa segera dari tempoh setahun yang dicadangkan.
"Tempoh ini juga diketahui oleh Muhyiddin.
"Pendirian Majlis Tertinggi Umno (semalam) tidak seharusnya membuat menteri-menteri Umno merasa serba salah atau malu kepada Muhyiddin.
"Kerana, selepas bercakap di Singapura supaya Abdullah Ahmad Badawi turun segera, Muhyiddin terus kekal duduk dalam jemaah menteri pilihan Abdullah.
"Tidak adapun rasa serba salah atau malu," kata Shahrir pada hantaran di Facebook hari ini.
Untuk rekod, pada PRU12 BN pertama kali kehilangan majoriti dua pertiga kerusi parlimen sejak pilihan raya umum 1969.
"Jadi, menteri-menteri Umno tidak perlu rasa malu dengan Muhyiddin.
"Rasa malu kepada parti? Itu kena tepuk dada, tanya selera. Kalau dalam dada ada prinsip dan falsafah, seleranya jelas," katanya merujuk keputusan Majlis Tertinggi malam tadi.
Kata Shahrir jika Muhyiddin berundur, maka Ismail yang sudah menjadi timbalan perdana menteri boleh mengambil alih jawatan itu.
"Sebelum ini, ada menteri-menteri kanan. Mereka akan bergaduh sesama mereka kerana tidak tahu siapa yang sebenarnya yang dipercayai oleh perdana untuk membantunya.
"Sekarang sudah jelas. Ismail Sabri boleh jadi perdana menteri sementara, kerajaan tidak goyang," katanya lagi.
Jelas Shahrir, jika itu berlaku Ismail perlu kembali juga kepada parti untuk mendapat restu menjadi perdana menteri.
"Tapi, kalau Ismail jadi perdana menteri sebetulnya, jangan lupa dapatkanlah sokongan Dewan Rakyat sepertimana Allahyarham Tun Hussein Onn lakukan pada 27 Januari 1976 (12 hari selepas dilantik PM) dan juga seperti Tun Abdullah Ahmad pada 3 Disember 2003 (3 hari selepas perlantikan)," katanya.
Shahrir mendakwa Muhyiddin gagal menunjukkan sokongan majoriti di parlimen selepas mengambil alih kerajaan 16 bulan lalu.
"Muhyiddin ada kisah ke dia tidak disokong oleh Umno?
"Muhyiddin ada kisah ke samada dia ada sokongan dari Dewan Rakyat," soalnya.
Untuk rekod, Umno menang 54 daripada 121 kerusi yang ditandinginya (BN secara keseluruhan menang 79 kerusi), menjadikannya parti tunggal yang menang kerusi terbanyak dalam PRU14.
Selepas PRU14, Umno mula hilang banyak kerusi rentetan adegan lompat parti, dengan 15 dari kerusinya bertukar tangan kepada Bersatu.
Susulan allahyarham ahli parlimen Gerik Hasbullah Osman meninggal dunia pada 16 Nov 2020, Umno kini tinggal 38 kerusi parlimen.