Seorang lelaki di Kapar, Klang membuat laporan polis setelah dia mendakwa diberi "suntikan kosong" vaksin Covid-19 di Hospital Banting semalam.
Bercakap kepada Malaysiakini, Simon Ng berkata, dia datang untuk janji temu menerima suntikan vaksin Pfizer di hospital itu pada jam 11 pagi dan mendakwa terdapat banyak jarum suntikan yang mengandungi cecair di atas meja di bilik suntikan.
Dia juga mendakwa pegawai perubatan memintanya untuk tidak melihat lengan semasa disuntik, tetapi dia berjaya merakam proses suntikan melalui telefon bimbit miliknya.
Ng berkata, dia tidak merasakan sakit akibat suntikan dan merasakan prosesnya dilakukan dengan sangat pantas.
"Saya merasa sangat tidak selesa setelah keluar. Saya mempunyai empat anak yang tidak dapat diberi vaksin, dan mereka mesti bergantung kepada kita untuk melindungi mereka. Sekiranya saya membawa virus ke rumah, mereka akan paling mudah dijangkiti," kata Ng.
Dia memeriksa video yang diambilnya dan mendapati jarum suntikan itu tidak mengandungi cecair, menyebabkan dia mengadu kepada pegawai perubatan di situ sebanyak dua kali, namun dia ditemui secara senyap-senyap selepas menunjukkan rakaman video tersebut kepada mereka.
"Setelah mereka menontonnya beberapa kali, mereka diam. Mereka kemudian tanya saya, 'Jadi apa yang kamu mahukan sekarang?'"
Ng berkata, pegawai perubatan itu bersetuju memberinya suntikan kali kedua, tetapi memberikan dua "syarat tambahan" yang harus diikuti iaitu tidak mengambil gambar atau video suntikan kedua, dan juga perlu memadam video yang dirakam.
"Ada selang waktu tertentu antara dos [...] Apabila pihak hospital benarkan saya untuk mengambil suntikan kedua, apakah itu bermaksud saya tidak disuntik apa-apa bagi suntikan pertama?" soalnya.
Dia secara diam-diam menyimpan fail video asal sebagai bukti dan menghapus semua rakaman lain, termasuk yang ada di album fotonya, 'recycle bin' dan mesej WhatsApp.
Ng berharap siasatan menyeluruh akan dilakukan berhubung perkara itu.
"Jika tidak ada bukti, perkara ini tak dapat dibawa kepada umum, dan tetap tidak dapat diselesaikan, dan masalah seperti ini akan terus terjadi.
"Walaupun Selangor telah memvaksin banyak penduduk, kita tidak tahu berapa ramai yang sebenarnya telah divaksinasi," tambahnya.
Ng memutuskan untuk membuat laporan polis di balai polis Kapar di Klang setelah dia mendapat panggilan dari hospital yang meminta alamat rumahnya.
Dia berkata ahli keluarganya yang lain tidak menerima panggilan seperti itu setelah menerima vaksin mereka.
Terdahulu, Ng dipanggil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat. Dia ditemani peguam dan menghabiskan masa dua setengah jam untuk memberikan keterangan.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Ahmad Ridhwan Mohd Nor juga mengesahkan telah menerima laporan tersebut dan siasatan sedang dijalankan.
"Kami sekarang sedang membuka kertas siasatan dan sedang dalam proses penyiasatan lebih lanjut mengenai aduan itu," katanya.
Malaysiakini telah menghubungi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti), yang diberi mandat untuk melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi mendapatkan respons.
Masalah kekurangan dos pertama vaksin pertama kali muncul pada Mei lalu, di mana penerima vaksin menimbulkan kebimbangan tidak mendapat dos secukupnya etelah melihat video selfie mereka.
Berikutan insiden itu, arahan dikeluarkan kepada petugas perubatan yang memberikan vaksin di bawah ProtectHealth Malaysia untuk menunjukkan kepada penerima jarum suntikan yang dipenuhi vaksin.