Pakar penyakit berjangkit, Prof Dr Adeeba Kamarulzaman, bersetuju dengan cadangan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad agar sebuah majlis yang tidak berorientasikan politik ditubuhkan khusus untuk menangani pengurusan Covid-19 di negara ini.
Katanya, buat masa sekarang, kementerian-kementerian yang terlibat dalam pengurusan Covid-19 dilihat bekerja secara berasingan.
“Menubuhkan badan khusus ini adalah satu cadangan yang amat baik, kerana saya fikir apa yang saya boleh nampak, kita bekerja secara berasingan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Miti (Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan sebagainya.
“Kita perlu ada satu kumpulan yang hanya fokus kepada Covid-19 seperti disarankan Tun (Mahathir),” katanya ketika berucap sebagai panel dalam program Reset Malaysia: Permasalahan dan Solusi yang disiarkan secara maya hari ini.
Terdahulu, Mahathir dalam program sama mengulangi cadangannya agar satu badan khusus ditubuhkan dan ia tidak dipengaruhi fahaman politik serta an dianggotai pakar bagi menguruskan hal ehwal wabak Covid-19 di negara ini.
Cadangan seumpamanya beberapa kali dibangkitkan Mahathir sebelum ini, iaitu badan pentadbir negara ala Majlis Gerakan Negara (Mageran) yang digelarnya Majlis Pemulihan Negara.
Badan itu kata Mahathir khusus untuk mencari jalan mengurangkan penularan Covid-19 sehingga negara mencapai imuniti kelompok, menyelesaikan masalah persekolahan, dan memulihkan ekonomi negara.
Pengesanan kontak kena pergiatkan
Kata Mahathir, badan dicadangnya itu tidak akan dipengaruhi oleh faktor politik dalam menjalankan tugas.
Selain Adeeba dan Mahathir, program itu turut disertai bekas menteri kanan Rafidah Aziz. Pemimpin pemuda Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Abu Hafiz Salleh Hudin bertindak selaku moderator.
Adeeba berkata dia mengutarakan pandangannya itu dengan harapan dapat membantu kerajaan menangani wabak yang belum menunjukkan tanda untuk surut setakat ini.
Katanya peningkatan kes bukan saja berlaku di Malaysia malah turut terjadi di tempat lain di rantau ini termasuk di negara yang pernah dianggap berjaya menangani wabak berkenaan seperti Taiwan dan Thailand.
Menurut Adeeba perkembangan itu mungkin berlaku disebabkan varian tertentu.
Dia turut mengakui Malaysia menampakkan penambahbaikan pada aspek tertentu seperti kadar pemvaksinan sejak bulan ini.
Pun begitu, ketika disoal mengenai apakah perkara yang harus diperbetul kerajaan dalam soal pengurusan Covid-19, Adeeba menggariskan beberapa aspek penting.
Antaranya, pengesanan kontak harus dipergiat bagi membolehkan pengasingan dilakukan, selain menambah bilangan katil hospital.
“Kalau kita nak putuskan rantaian, kita kena cari seramai mungkin rakyat yang telah dijangkiti untuk asingkan mereka. Dah tak ada cara lain.
“[...] Di samping itu juga, oleh kerana sekarang kes amat tinggi, kita nak kena perkukuhkan juga katil hospital (terutama) unit rawatan rapi. Ini yang paling mendesar sekarang.
“Selepas itu kita perlu adakan satu strategi ujian supaya selepas kita buka daripada lockdown (sekatan pergerakan penuh) ini, kita tak jatuh ke dalam perangkap sama lagi, apabila kes semakin banyak, kita tidak sedar, dan tiba-tiba kita kena lockdown semula,” katanya.
Dia juga bersetuju dengan cadangan Rafidah dan Mahathir agar kerajaan memudahkan proses vaksinasi, selain mengambil strategi lebih bersasar seperti mengutamakan vaksinasi di kilang dan penjara yang berisiko tinggi berlaku penularan.
Katanya, kerajaan tidak harus terlalu merumitkan proses vaksinasi, sedangkan struktur sedia ada telah pun tersedia dalam Program Imunisasi Kebangsaan yang mencakupi lebih 90 peratus rakyat Malaysia.
Selain itu, kata Adeeba, Malaysia turut perlu bergerak dari cara lama menguruskan data menuju ke arah automasi bagi memastikan strategi dapat dilakukan secara lebih tepat - termasuk pengesanan kontak, sekatan pergerakan mahupun vaksinasi.