Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mayat reput di hutan simpan Kelantan wanita disyaki dibunuh

Polis mengesahkan mayat reput yang ditemui di kawasan Hutan Simpan Ulu Sat, Machang, Jumaat lalu merupakan seorang wanita yang dipercayai mati dibunuh.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah, berkata pengesahan jantina mangsa itu dibuat berdasarkan hasil laporan bedah siasat yang dijalankan Ahad lalu.

Jelasnya, bedah siasat juga mendapati mayat wanita yang ditemui tidak berpakaian itu mengalami patah tulang rusuk dan tumit serta tidak mengalami kecederaan di kepala.

"Mangsa dianggarkan berusia antara 20 hingga 30 tahun itu meninggal dunia sejak sebulan lalu dan tidak menolak kemungkinan mangsa mati ditempat lain sebelum mayatnya dibuang di lokasi ditemui.

"Pada awalnya, kita membuka kes berkenaan sebagai mati mengejut, namun selepas melihat hasil laporan bedah siasat, kes berkenaan ditukar kepada 302 Kanun Keseksaan.

"Kita juga percaya mayat mangsa berada di lokasi itu perlu dibawa oleh beberapa individu memandangkan perjalanan untuk sampai ke lokasi berkenaan dari laluan utama mengambil masa 45 minit dengan jalan yang agak teruk," katanya pada sidang media selepas melawat lokasi kejadian, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan mayat reput dalam keadaan berkecai dijumpai penduduk kampung berhampiran kawasan kebun di Kampung Chekar, Machang.

Ia selepas penduduk terhidu bau busuk ketika melalui jalan ke kawasan kebun sebelum bertindak mencari punca bau itu lalu terjumpa mayat yang sudah reput dan berkecai jam 6.30 petang.

Sementara itu Abdullah berkata, sehingga kini pihaknya belum mengenalpasti identiti wanita berkenaan dan meminta orang ramai yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil membuat laporan polis.

Sehingga kini katanya, pihak polis menerima satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Ketereh pada 16 Jun lalu berhubung kehilangan seorang wanita yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 20-an.

"Laporan itu dibuat bapa saudara mangsa dan kita sudah menghantar sampel asid deoksiribonukleik (DNA) mangsa yang hilang dengan mayat wanita tersebut, manakala keputusan akan diketahui sehingga dua minggu lagi," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS