Paling Popular
Terkini

Padah menyembunyikan dadah di sekitar halaman rumah, tiga beradik ditahan polis selepas tindakan mereka berjaya dihidu dalam serbuan di Kampung Tok Pelanduk, Bukit Tuku, Pasir Mas, semalam.

Hasil tangkapan itu menemui 8,000 biji pil kuda dan 3,247 gram dadah jenis syabu dianggarkan bernilai RM195,200.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata tangkapan suspek pertama pada serbuan jam 12.50 tengah hari, membabitkan seorang buruh berusia 33 tahun.

Menurutnya, sebaik memperkenalkan diri sebagai anggota polis, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa namun tidak menemui sebarang barangan yang salah.

"Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di luar kawasan rumah menemui bungkusan plastik yang mengandungi 2,000 biji pil kuda yang diletakkan di dalam semak. Selain itu pencarian diteruskan lagi dan menemui satu tin cat tanpa penutup yang berisi 6,000 pil kuda di dalamnya.

"Anggota terus membuat pemeriksaan di semak belakang rumah suspek sebelum menemui satu batang paip PVC berongga yang ditutup dengan plastik berwarna merah, di dalamnya mengandungi 3,247 gram syabu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Susulan serbuan pertama itu pihaknya sekali lagi ke rumah tersebut pada jam 2 petang, hari yang sama dan menemui dua lelaki berusia 38 dan 40 tahun yang juga adik beradik kepada suspek pertama

Mohd Nasaruddin berkata, kedua-dua beradik itu turut ditahan kerana dipercayai memasukkan dadah ke dalam badan.

Menurutnya, ketiga-tiga mereka kemudian menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati hanya suspek pertama didapati negatif manakala dua lagi abangnya positif dadah jenis methamphetamine.

"Bagaimana pun, suspek pertama mengakui kesemua dadah yang ditemui adalah miliknya dan usaha mengesan pembekal dadah masih diteruskan.

"Semakan yang dilakukan juga mendapati tiga beradik ini mempunyai rekod lampau membabitkan penyalahgunaan dadah.

"Dalam serbuan itu juga, pihak polis turut menemui wang tunai RM4,000 di dalam sebuah bilik di rumah terbabit dipercayai hasil jualan dadah, selain dua kereta jenis Honda Civic serta Nissan Almera dan sebuah motosikal Yamaha Y15.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS