Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Laporan: Lelaki didakwa menyamar jadi doktor di PPV
Diterbitkan:  Jul 6, 2021 10:50 PM
Dikemaskini: 2:50 PM

Seorang lelaki berusia 20 tahun dihadapkan ke mahkamah setelah didakwa menyamar sebagai seorang doktor di sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuching, Sarawak.

Menurut laporan See Hua Daily, tertuduh menyamar sebagai seorang doktor Hospital Umum Sarawak sekurang-kurangnya sebanyak 32 kali sejak 16 Jun hingga 1 Julai lalu.

Menurut laporan itu, lelaki itu memiliki cop, kad nama, peralatan perlindungan peribadi, peralatan perubatan dan kelengkapan sendiri yang lain.

Setelah membuat pertanyaan awal di PPV Stadium Perpaduan, dia didakwa pergi sekali lagi ke PPV tersebut pada 16 Jun dan mendakwa telah menerima kebenaran orang atasannya untuk bekerja di situ.

Pada 19 Jun, dia didakwa mengendalikan kaunter pendaftaran PPV tanpa kelulusan daripada kakitangan PPV.

Laporan itu tidak menyebut jika dia ada memberi suntikan vaksin mahupun melakukan prosedur perubatan yang lain.

Keraguan mula timbul pada 22 Jun lalu ketika tertuduh berbual dengan doktor lain, di mana doktor tersebut mendapati dia hanya berusia 20 tahun.

Ketika ditanya polis, dia didakwa berkata menyamar kerana "berminat untuk menjadi doktor" dan telah mempelajari perubatan secara dalam talian.

Dia didakwa mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyamar sebagai penjawat awam yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Memandangkan dia berusia di bawah 21 tahun, tiada pengakuan direkodkan sementara menunggu laporan akhlak dikeluarkan.

Kes tersebut dijadual disebut di mahkamah majistret pada 17 Ogos ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS