Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Didakwa dera remaja OKU: Polis akan panggil pemilik rumah jagaan secepat mungkin

Polis akan memanggil pemilik rumah kebajikan yang dikaitkan dengan dakwaan dera membabitkan seorang remaja perempuan Sindrom Down berusia 13 tahun yang tular di media sosial baru-baru ini.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata mangsa pada masa ini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Siti Kamisah berkata, polis akan memanggil pemilik rumah jagaan tersebut dalam masa terdekat memandangkan individu tersebut baru selesai tempoh kuarantin selepas didapati positif Covid-19.

“Kes masih dalam siasatan memandangkan pemilik atau penjaga mangsa baru habis kuarantin. Begitu juga penghuni rumah jagaan yang lain.

“Pihak polis akan merakam keterangan penghuni rumah tersebut. Buat masa ini, mangsa di bawah jagaan JKM.

“[...] Keterangan (akan diambil) dalam masa terdekat dan seberapa segera,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Semalam, seorang pengguna Facebook bernama Mona Din, memuat naik hantaran memaparkan kecederaan teruk yang dialami remaja berkenaan, yang kemudiannya tular.

Berdasarkan gambar-gambar itu, remaja berkenaan yang berpakaian hospital didapati mengalami luka teruk di bahagian tangan sehingga menampakkan isi, selain parut-parut lama di belakang badan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Mona berkata dia dimaklumkan mengenai kejadian malang itu oleh seorang individu yang tidak ingin dikenali.

Cerita Mona, mangsa didaftarkan di bawah jagaan sebuah pusat perlindungan wanita hamil di Setapak tetapi ditempatkan di sebuah pangsapuri di Wangsa Maju di Kuala Lumpur.

Selain mangsa, Dia berkata pangsapuri itu didiami pemilik rumah kebajikan itu, bersama-sama adik angkatnya, dua lagi kanak-kanak Sindrom Down dan dua remaja lain.

'Diikat, dipukul, dicurah air panas'

Kejadian yang menimpa mangsa terdedah selepas berlaku penularan Covid-19 di rumah kebajikan berkenaan yang menyebabkan semua penghuni perlu menjalani ujian saringan, katanya.

Namun, katanya lagi, memandangkan nama mangsa tiada dalam senarai untuk disaring, individu yang memberi maklumat kepadanya itu telah pergi ke pangsapari tersebut dan kemudian melihat parut dan kesan luka pada mangsa.

Ketika ditanya berkenaan parut-parutnya, Mona berkata antara jawapan yang diberikan mangsa kepada individu berkenaan ialah “diikat”, “dipukul” dan “dicurah air panas”.

Justeru, katanya lagi, individu tersebut membawa mangsa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dirawat sebelum membuat laporan polis.

Mona memaklumkan yang dia kini telah sembuh daripada wabak itu dan ditempatkan di rumah jagaan Taman Sinar Harapan di Seremban yang dikendalikan JKM, yang merupakan tempat tinggalnya sebelum berpindah ke rumah jagaan semasa.

“Saya sangat patah hati. Saya ada anak perempuan Sindrom Down yang sebaya dengannya dan sudah meninggal dunia. Beberapa tahun lepas, saya ambil anak angkat Sindrom Down.

"Anak angkat saya ini kawan mangsa ketika tinggal diTaman Sinar Harapan

"Jadi melihat perkara ini, saya sangat patah hati. Macam mana mereka boleh buat macam tu?” katanya yang teresak-esak ketika bercakap dengan Malaysiakini.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur SAC Saiful Annuar Yusoff berkata pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu pada 24 Jun lalu.

"Mangsa telah dihantar ke HKL untuk pemeriksaan. Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan bahawa mangsa mengalami kecederaan infected burn wound over bilateral fore arm and multiple old scars all over body. Mangsa juga didapati positif Covid-19.

"Mangsa juga didapati positif Covid-19," katanya dalam kenyataan.

Dia berkata kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 atas kesalahan menganiaya, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal 

Kembali ke pusat jagaan lama

Dalam pada itu, Mona menyifatkan apa yang berlaku sebagai bukan kes terpencil dan menggesa polis bertindak dengan segera dan telus.

"Penderaan berlaku kepada seorang anak OKU yang sudah tiada ibu bapa, terbiat sepanjang hidupnya.

“Kalau kes ini tak dibawa kepada saya, siapa pun tak akan tahu,” katanya yang berharap tiada kes seumpama ini disembunyikan oleh pihak bertanggungjawab.

Sementara itu, Pengarah JKM Negeri Sembilan, Rosnah Sardi mengesahkan yang seorang remaja perempuan OKU dengan Sindrom Down berusia 13 tahun, kini ditempatkan di Taman Sinar Harapan.

Menurut Bernama, Rosnah berkata mangsa - yang dipercayai didera pemilik sebuah NGO - di bawah jagaan pusat tersebut sejak 2011 sebelum diserahkan kepada sebuah NGO sebagai anak angkat pada tahun lalu.

"Atas faktor kanak-kanak itu yang merupakan orang kurang upaya (OKU), dia telah ditempatkan di Taman Sinar Harapan sejak dua hari lepas, berikutan ia adalah tempat yang paling sesuai untuk diberi penjagaan dan rawatan sewajarnya.

“Taman Sinar harapan sebuah institusi OKU di bawah JKM akan memberi jagaan terbaik kepada kanak-kanak berkenaan, kerana bagi menangani trauma penderaan yang dialami,” katanya lagi seperti dipetik.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS