Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pegawai polis cedera ketika cuba tahan suspek pelacuran
Diterbitkan:  Jul 6, 2021 12:44 PM
Dikemaskini: 4:44 AM

Seorang pegawai polis cedera ketika cuba menahan seorang suspek, disyaki terlibat dengan sindiket pelacuran dalam serbuan menerusi Op Noda di sebuah hotel di Jalan Pudu Ulu, di Cheras dekat Kuala Lumpur, malam tadi.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur ACP Nasri Mansor berkata dalam kejadian pada pukul 9.30 malam itu, pegawai berusia 34 tahun itu cedera di tangan kiri dan dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia untuk mendapatkan rawatan.

“Dalam operasi itu seramai tujuh wanita warga Thailand dan seorang lelaki tempatan, berusia 26 hingga 45 tahun ditahan.

“Turut dirampas 11 keping kondom, dua dekoder serta wang tunai sebanyak RM1,230, dipercayai hasil daripada kegiatan berkenaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nasri berkata kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Seksyen 333 Kanun Keseksaan.

Sementara itu dalam serbuan berasingan, seorang wanita warga Thailand disyaki pelacur, cedera di pergelangan kaki kanan selepas bertindak terjun dari tingkat satu sebuah hotel di Taman Setapak Indah malam tadi, bagi mengelak dicekup polis.

Nasri berkata wanita berkenaan, yang kemudiannya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan, adalah antara tujuh wanita warga Thailand, berusia 29 hingga 34 tahun, yang ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur.

- Bernama 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS