Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Adham sahkan jangkitan Covid-19 di wad psikiatri HKL, 10 positif
Diterbitkan:  Jul 6, 2021 9:54 AM
Dikemaskini: 1:54 AM

Sepuluh individu di wad psikiatri lelaki di Hospital Kuala Lumpur diuji positif Covid-19, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Menurut Adham, susulan daripada itu, wad psikiatri lelaki itu "dibekukan", di mana pesakit sedia ada kekal ditempatkan di wad yang terjejas tersebut.

Katanya, HKL tidak akan menutup mana-mana wadnya walaupun kes Covid-19 baru dikesan di situ.

"Biasanya, kita hanya akan membekukan wad atau bahagian yang terjejas untuk mengekang wabak tersebut,” katanya lapor Sin Chew Daily.

Menjelaskan istilah yang digunakan itu, menurut Adham, "membekukan" wad bermaksud pesakit sedia ada kekal berada di kawasan yang sama sementara wad itu tidak akan menerima pesakit baru.

Ia bertujuan memantau pesakit di wad berkenaan dan mereka yang mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang telah dijangkiti.

Katanya, keputusan akan diketahui selepas dua hari pembekuan wad tersebut.

Sementara itu Adham turut menegaskan bahawa HKL akan beroperasi seperti biasa.

"Pesakit baru akan tinggal di wad lain yang tidak terjejas," katanya.

Sementara itu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa wad psikiatri lelaki itu ditutup pada hari Ahad selepas lapan kes dikesan.

Sejumlah kakitangan di jabatan psikiatri itu dikenalpasti sebagai kontak rapat dan dipercayai telah dijangkiti oleh seorang pesakit yang dimasukkan ke wad tersebut pada 1 Julai. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS