Tugas seorang guru bukan sekadar mendidik dan mencurahkan ilmu kepada murid, malah kadangkala peranan itu melibatkan aspek lain termasuk membantu murid yang kurang berkemampuan.
Itulah yang dilakukan oleh Fazelina Mat Lui, 49, di Sekolah Kebangsaan Ayer Molek, Melaka yang berkongsi rezekinya dengan murid-murid dan golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Dengan menggunakan wangnya sendiri sebagai dana, dia memulakan program #GerbangRezeki dengan asalnya menyasarkan pelajar yang kurang bernasib baik.
“Inisiatif ini dibuat sebenarnya bertujuan untuk membantu ibu bapa dan murid-murid saya yang terkesan teruk akibat perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0," katanya kepada Malaysiakini.
Menurut Fazelina (gambar atas, kiri) lagi, di sekolah tempatnya mengajar, dia ditugaskan di bahagian kebajikan. Justeru dia memang tahu dengan tepat kedudukan pelajar yang bermasalah dan kesempitan.
"Inisiatif ini di buat bagi meringankan sedikit beban ibu bapa terutama dalam waktu yang susah sebegini,” katanya.
Tambah Fazelina bantuan berkenaan digerakkan setiap dua minggu, atau apabila dana untuk membeli barangan mencukupi.
Kata guru yang berasal dari Jerantut, Pahang itu, dalam setiap bungkusan yang disediakan, ia berisi pelbagai barang asas harian dan dianggarkan dapat bertahan selama sebulan untuk setiap penerima.
Menurut Fazelina pengagihan bantuan juga dibuat dengan mengambil kira keperluan semasa dan biasanya penerima adalah keluarga yang berbeza dari semasa ke semasa.
“Pada awal kami gerakkan bantuan ini, kami tak ada dana untuk minggu pertama dan kedua. Maka kami gunakan wang sendiri dan dibantu sumbangan kawan-kawan rapat.
"Pada masa tu barang yang dapat disumbangkan pun tak berapa banyak, setakat yang termampu dengan dana yang ada sahaja. Orang yang boleh ambil bantuan pun tak ramai,” katanya.
Datang ambil rezeki
Jelas guru itu lagi, pada awalnya fokus inisiatif itu memang untuk murid-muridnya saja tetapi apabila usaha itu mula dikenali ramai dan tular, bilangan penerima juga kian bertambah.
"Maksudnya sekarang sesiapa saja yang memerlukan bantuan boleh mendaftar dengan kami dan kami akan beri sumbangan. Sementelah dana juga sudah lebih menggalakkan," katanya.
Menurut Fazelina antara penerima sumbangan #GerbangRezeki itu ialah golongan yang tidak mendapat bantuan daripada mana-mana pihak dan benar-benar terkesan pada waktu ini.
Katanya lagi sebelum ini pun dia memang terlibat dalam kegiatan kebajikan bersama rakannya, Shahnorsahedah Dol Sani, 37, yang bergerak dari rumah ke rumah untuk meringankan bebanan orang ramai.
Namun kata Fazelina apabila PKP 3.0 dilaksanakan, pergerakan mereka menjadi terhad.
Justeru mereka menyesuaikan bantuan itu dengan keadaan. Berbanding bergerak ke sana sini memberikan sumbangan Fazelina dan Shahnorsahedah membuka 'gerbang' yang boleh dikunjungi sesiapa.
Menurut Fazelina mereka bernasib baik kerana perniagaan kecil-kecilan di Facebook iaitu Dapur Jerantut dapat membantu kempen berkenaan dan kini ia menjadi penyuntik utama dana #GerbangRezeki.
“Selain berniaga ia juga untuk membantu. Maksudnya 20 peratus daripada hasil Dapur Jerantut ini disalurkan untuk bantuan dan berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Saya akan kongsikan maklumat di Facebook Dapur Jerantut dan dengan cara itu orang ramai lebih tahu dan datang ke sini untuk mengambil rezeki tersebut,” jelasnya yang mula menetap di Melaka dari Pahang pada 2005.
Kata Fazelina dia juga bertuah kerana mendapat sokongan dan kerjasama Shahnorsahedah untuk menjayakan misi membantu golongan yang kurang bernasib baik itu.
Menurut guru subjek Bahasa Melayu dan juga Muzik itu, pergaulan baik rakannya memudahkan kerja-kerja amal yang mereka lakukan.
"Rasanya kira-kira 80 peratus orang di Ayer Molek ni memang dikenalinya.
"Dengan itu kami boleh tahu dengan mudah siapa dan di mana orang yang memerlukan bantuan," katanya.