Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Cadangan saya, datang, bantu dan pergi’
Diterbitkan:  Jul 5, 2021 1:55 PM
Dikemaskini: 5:58 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mastura Mohd Yazid menerima kritikan apabila dia mendakwa satu wawancara radio yang tular mengenai sebuah keluarga di Kuala Kangsar tidak mendapat bantuan makan sebagai palsu.

Antara mereka yang mengkritik Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu ialah pemimpin Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang menyifatkan Mastura tidak sepatutnya menyukaran pihak yang ingin mendapatkan bantuan.

"Salam YB. Cadangan saya, datang, bantu dan pergi. Tak perlu nak buat pendedahan seperti keluarga itu bersalah.

"Ramai yang perlukan bantuan sekarang," ciapnya di Twitternya, pagi ini.

Semalam, Mastura mengeluarkan kenyataan, yang mempersoalkan kesahihan klip wawancara radio di mana seorang lelaki mendakwa sebuah keluarga di Kuala Kangsar telah kelaparan selama dua hari.

Wawancara di Suria FM itu menampilkan seorang lelaki yang mengaku sebagai wakil NGO, menceritakan pengalamannya menagihkan bantuan di Kuala Kangsar.

Lelaki itu, yang menangis ketika wawancara, mendakwa dia melihat seorang kanak-kanak terbaring di lantai ketika dia menghampiri rumah itu dan mendakwa bahawa keluarga itu ketiadaan makanan selama dua hari.

Sebagai tindak balas, Mastura turut mengeluarkan sebuah video di media sosialnya menunjukkan wanita yang dikatakan terlibat dalam wawancara itu tampil menafikan bahawa keluarganya dalam kelaparan dan mengatakan bahawa tuduhan itu adalah tidak benar.

Dia menambah bahawa anaknya hanya berbaring di lantai ketika itu melakukan pembelajaran secara dalam talian.

Ekoran itu, ramai pengguna media sosial tampil mengecam Mastura kerana mendedahkan identiti keluarga berkenaan dan bukannya menyalurkan bantuan diperlukan.

Anggota exco Bersatu Srikandi, Ainie Haziqah Shafii menyifatkan video itu sebagai langkah yang tidak perlu.

"YB, kalau dia susah, tolong saja. Tidak perlu menafikan apa-apa.

“Ada puluhan ribu orang di setiap kerusi parlimen, dan jika terlepas pandang satu atau dua kes adalah perkara biasa.

"Jadi, tolong saja, tidak perlu mewawancara (keluarga)," dia membalas video di Twitter.

Netizen juga turut menyerang laman Twitter Mastura, seorang pengguna media sosial itu membandingkan sikap Ahli Parlimen lain bila ada yang meminta bantuan, dan seorang lagi mengecam timbalan menteri kerana menunjukkan wajah wanita dan anak keluarga yang terlibat.

Pengguna @xdidiandrax berkata: “Ramai juga orang meminta pertolongan di kawasan Syed Saddiq dan (MP Bukit Mertajam) Steven Sim.

"Apakah mereka pergi ke rumah orang-orang ini untuk merakam video dan meminta untuk membersihkan nama mereka? Tidak. Mereka mengumpulkan wang dan terus tolong, balik, selesai, " ciapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS