Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PH gesa letakkan negeri Johor dalam Fasa 2 PPN
Diterbitkan:  Jul 5, 2021 1:11 PM
Dikemaskini: 5:11 AM

Pakatan Harapan Johor menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya meletakkan negeri tersebut ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara, memandangkan nilai R (kadar kebolehjangkitan) di negeri itu antara yang terendah.

Menurut kenyataan bersama pimpinan kanan PH Johor, selain meletakkan rakyat dalam krisis ekonomi berikutan tempoh perintah kawalan pergerakan yang terlalu lama, ia juga memberi kesan kepada kesihatan mental mereka.

“PH Johor menjunjung kasih titah Tengku Mahkota Johor (TMJ) dan amat bersetuju dengan pandangan bahawa formula 'lockdown' semata-mata tidak akan membuahkan hasil yang positif untuk rakyat.

“Tempoh 'lockdown' yang terlalu lama akan mendorong kepada krisis kesihatan mental yang lebih parah lagi termasuklah risiko peningkatan kemalangan nyawa (bunuh diri),” menurut kenyataan tersebut.

Untuk rekod, nilai R di Johor pada 4 Julai merupakan 0.91.

Pada 3 Julai, kerajaan persekutuan mengumumkan lima negeri telah berjaya mencapai ketiga-ketiga nilai ambang Fasa 2 kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Lima negeri tersebut adalah Perlis, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak dan peralihan dibuat bermula 5 Julai ini.

“PH Johor turut menggesa kerajaan negeri Johor untuk segera melaksanakan inisiatif tambahan sepertimana yang telah diumumkan oleh menteri besar menerusi PRE (Pakej Rangsangan Ekonomi) Ihsan Johor 3.0, di mana sejumlah RM40 juta telah diperuntukkan bagi tujuan pembelian vaksin dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor (KPJ).

“Hal ini amat penting untuk Johor mencapai imuniti kelompok pada kadar yang segera.

“Johor amat mengharapkan kesegeraan dalam pelaksanaan sebarang bentuk usaha melawan Covid-19 di negeri ini lebih- lebih lagi Johor merupakan 'negeri barisan hadapan' yang menyumbang kepada ekonomi negara kita,” menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan bersama itu terdiri daripada timbalan pengerusi Amanah Dzulkefly Ahmad, timbalan pengerusi PKR Johor Jimmy Puah Wee Tse dan timbalan pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching.

Bimbang dengan keadaan semasa, mereka turut mencadangkan beberapa langkah sebagai langkah kawalan dan jalan keluar kepada pelaksanaan PKP yang telah memberi kesan negatif terhadap rakyat.

Antaranya mencadangkan penggunaan Rapid Antigen Test yang berlipat ganda supaya tidak hanya bergantung kepada ujian PCR semata-mata.

“Hal ini boleh membantu untuk menangani penularan wabak covid-19 secara bersasar dan lebih berkesan kepada bangsa Johor,” katanya.

Selain itu, memperkenalkan self test kit yang digunakan secara meluas di luar negara seperti United kingdom dan dibekalkan secara percuma agar ujian persendirian boleh dijalankan di rumah.

Keputusan ujian boleh dimuat naik secara dalam talian dan disalurkan kepada data rasmi kerajaan supaya tindakan susulan dapat dilakukan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS